Sejak kebelakangan ini, ramai di kalangan masyarakat kita semakin mengikut keadaan semasa atau trend terkini di media sosial. Baik yang tua mahupun yang muda, mereka semakin leka dalam mengikut trend terkini hanya semata-mata mahu raih perhatian di media sosial dan menambah jumlah pengikut akaun mereka. Terkini, satu trend yang boleh dianggap memperlekehkan agama Islam berlegar-legar di aplikasi TikTok di mana bersolat dengan “bermakmum atau berimamkan” kipas.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, perbuatan yang semakin menjadi ikutan terutama dalam kalangan umat Islam itu jelas mempersendakan ibadah dan agama Islam dan boleh dikenakan tindakan yang tegas. Ini kerana perbuatan itu sendiri telah mencemarkan syiar Islam dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan selain merosakkan iman seseorang umat Islam. Imam al-Zarkasyi menyatakan bahawa:
“Sesiapa yang berkata perkataan yang membawa kepada kufur secara sengaja tanpa niat untuk kufur maka beliau dikira murtad.” (al-Mansur fi al-Qawaid Fiqh Syafie, jld. 2, m/s 112).
Sebagai umat Islam, adakah kita suka digelarkan seperti itu? Berislam pada kad pengenalan tetapi murtad pada hati dan pegangan hanya kerana satu trend yang melalaikan? Jangan disebabkan terlalu ghairah untuk meraih pengikut di media sosial, kita sanggup meletak tepi pegangan dan agama kita. Agama lebih bernilai daripada segalanya. Allah SWT telah memberikan amaran keras kepada para hambaNya dengan berfirman:
“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia”. (QS Al-An’am; 70).
Jangan pilih agama sebagai bahan jenaka. Ini bukan mendidik orang jaga solat. Tapi mendidik orang untuk meremehkan solat. Melihat solat sebagai bahan jenaka. Tidak ada kemuliaan pun pada solat. Banyak lagi cara untuk membuat ‘content’ dan menarik minat ramai orang untuk melihatnya tetapi bukanlah mempergunakan agama semata-mata. Tidak malukah kita dengan penganut agama-agama lain? Pernah kita lihat dalam agama-agama lain para penganutnya memperlekehkan cara ibadah mereka? Islam agama yang suci dan syumul, jangan hanya disebabkan ‘content’ akidah kita terpesong dari landasan sebenar.
Sumber: Sinar Harian (28 Mei 2022)