Akhir-akhir ini, terlalu banyak perdebatan yang diutarakan oleh sesetengah pihak tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan ‘khilafiah’ (perbezaan pandangan) dan ‘furu’iyah (perkara yang cabang bukannya perkara asas) dalam agama Islam. Mengapa perlu adanya perdebatan seperti itu? Adakah kita semua rasa ianya satu hasil yang menguntungkan? Perdebatan yang dimulai oleh sekelompok fahaman Wahabi yang membidaahkan sesetengah perkara yang telah lama diamalkan oleh sebahagian besar umat Islam berdasarkan ijtihad para ulama yang soleh yang membenarkan perkara tersebut diamalkan. Namun, amalan tersebut dilabel sebagai amalan bid’ah yang sia-sia dilakukan oleh golongan Salafi (Wahabi) kerana tidak akan mendapat pahala akibat dikatakan bukan amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW. Sebagai contoh, doa Qunut dalam solat subuh, bacaan tahlil, berwirid dan berdoa beramai-ramai selepas solat, menambah perkataan ‘sayyidina’ dalam bacaan selawat dan berbagai perkara lagi sehingga ia menjadi perkara yang diperdebatkan dengan penuh sensasi.
Seharusnya umat Islam pada hari ini disarankan untuk tidak terlalu ekstrem dalam menegakkan pendapatnya akibat fahaman aliran yang berbeza hingga mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam. Perbezaan pendapat dan pandangan itu perkara biasa yang perlu diraikan. Namun, ada ketikanya perbalahan berlaku disebabkan cetusan pendapat yang berbeza. Masing-masing mahu menegakkan kebenaran pendapat sendiri saja malah mempelekehkan pandangan lain seolah-olah hanya pandanganya sahaja yang betul. Golongan ini tidak mahu bertoleransi dengan pendapat orang lain yang berbeza dengan pendapat mereka. Sedangkan Allah telah memberikan panduan yang jelas supaya jangan berselisih faham dan perlu merujuk kepada kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW (berdasarkan tafsiran ulama yang muktabar) jika terdapat perbezaan pandangan dalam semua permasalahan yang berhubung dengan ibadah kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Jika kamu berselisih pada sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat…” (QS An – Nisa: 59).
Apa yang harus dilakukan pada ketika ini adalah mencari satu titik penyelesaian untuk penyatuan dan bukannya mencari perseteruan. Tidak kiralah dalam aliran apa sekalipun asalkan tidak terpesong daripada al – Quran dan As – Sunnah. Setiap perselisihan itu hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan As -Sunnah. Mana-mana pandangan yang bertentangan dengan al-Quran dan As-Sunnah, hendaklah ditolak. Jangan dek kerana perbezaan pendapat dalam perkara
‘furu’iyah’ (masalah cabang bukannya perkara asas terutamanya dalam masalah fiqih), kita umat Islam harus berpecah sesama sendiri.
Jangan terpedaya dengan jarum halus puak-puak kafir yang ingin memecahbelahkan kita dengan perkara-perkara ‘khilafiah’ dan ‘furu’iyah’ yang akhirnya kita sendiri pun terikut sama dengan pemikiran sebegitu. Ingatlah, pandangan dan tuduhan puak Wahabi itu hanyalah pandangan mereka yang menuju ke arah keduniaan. Hal yang sepatutnya kita lakukan pada ketika ini adalah menentang perkara-perkara yang batil yang sah salah disisi syarak dan agama seperti judi, arak, zina, keganasan dan perkara-perkara negatif yang lain bukannya mempertikaikan perkara-perkara ‘khilafiyah’ tersebut .
Jangan berpecah – belah dalam hal ‘khilafiah’ demi perpaduan ummah. Ambillah contoh seperti sikap Imam As – Syafie yang lebih mengutamakan ukhuwah Islamiah berbanding menegakkan pendapat sendiri. Usah cepat menuding jari pendapat seseorang itu bertentangan dengan sunah dan jauhkan diri untuk melemparkan kata-kata hinaan terhadap pendapat tokoh ulama yang lain. Sikap sedemikian bukanlah akhlak Islamiyah yang baik malah dilarang keras oleh Allah SWT kerana Islam amat mementingkan pengukuhan ukhwah antara sesama umat Islam. Bersatulah demi agama Islam sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam FirmanNya:
“Dan berpegangteguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan karunia-Nya kamu menjadi bersaudara..” (QS Ali ‘Imran: 103).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan