Home Kemanusiaan/Motivasi MENYUBURKAN SIKAP SALING BERTOLERANSI, MENGHORMATI DAN BANTU MEMBANTU DEMI MENGEKALKAN KEAMANAN, ...

MENYUBURKAN SIKAP SALING BERTOLERANSI, MENGHORMATI DAN BANTU MEMBANTU DEMI MENGEKALKAN KEAMANAN, KEHARMONIAN DAN KESEJAHTERAAN HIDUP BERMASYARAKAT ADALAH TUNTUTAN UTAMA ORANG BERIMAN

480
0

Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menyuburkan nilai kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain demi keamanan dan keselamatan dalam sesebuah kehidupan bermasyarakat.

Peranan dan tugas menjaga keamanan secara khususnya adalah terletak di atas tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Keselamatan Negara yang lain termasuklah Polis Di Raja Malaysia dan sebagainya bagi memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara daripada sebarang pencerobohan, peperangan dan pelbagai ancaman keselamatan.

Perkara ini dinamakan sebagai konsep pertahanan menyeluruh. Namun, masyarakat juga tidak ketinggalan untuk memainkan peranan membantu pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di samping tidak melibatkan diri dengan keganasan, pencabulan hak, provokasi, penghinaan, hasutan dan sebagainya. Tindakan seperti ini secara tidak langsung dapat menyuburkan perasaan cintakan negara.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu akui bahawa keamaan dan keharmonian yang kita kecapi ini adalah hasil keperihan dan pengorbanan para pejuang terdahulu. Mereka bermati-matian untuk mengembalikan kemerdekaan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah. Oleh yang demikian, janganlah sia-siakan pengorbanan mereka, sebaliknya pertahankanlah keharmonian negara demi warisan bangsa, agama dan negara.

Justeru itu, bentuklah muafakat, bersatu hatilah rakyat Malaysia dan berganding bahulah tanpa mengira agama, bangsa, negara dan pangkat demi mengekalkan kehidupan yang harmoni dan aman di negara tercinta seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (QS at-Taubah: 71).

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan