‘Su’udzon’ atau berprasangka buruk adalah suatu ‘penyakit’ yang telah wujud di dalam diri manusia sejak zaman dahulu lagi. Malah, Rasulullah SAW sendiri selalu sahaja diburuk sangka oleh kaum kafir Quraisy hanya kerana Baginda membawa ajaran yang benar iaitu agama Islam. Adakalanya manusia begitu mudah menilai seseorang yang lain hanya dengan mata kasar. Apabila nampak sahaja orang lain berbuat sesuatu yang tidak kena pada matanya, mulalah dirinya berburuk sangka kepada individu berkenaan. Perbuatan itu kadangkala tanpa sedar telah membuatkan kita menjatuhkan ‘hukuman’ ke atas orang tersebut walaupun kita tidak begitu mengenalinya. Bukankah Allah SWT telah memberi amaran dalam firmanNya:
“Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kamu sekalian akan kebanyakan daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu ialah dosa dan jangan kamu suka mencari-cari kesalahan.” (QS Al – Hujurat: 12).
Selain amaran Allah SWT dalam surah Al – Hujurat, ayat 12, Rasulullah SAW juga bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Takutilah kamu sekalian akan sangkaan, maka sesungguhnya sangkaan itu ialah sebohong-bohong perkataan.” (HR Bukhari).
Nampak bukan bahaya ‘su’udzon’ ini? ‘Su’udzon’ bukan hanya mendatangkan murka Allah SWT, bahkan ia boleh menyebabkan bencana kepada umat Islam. Kerana apa? Kerana daripada ‘su’udzon’ lah bermulanya sebuah fitnah yang boleh menggugat kedamaian sebuah ukhuwah. Lihat sahaja beberapa contoh yang terjadi di sekeliling kita, akibat berprasangka buruk lalu timbulnya fitnah, ikatan persaudaraan terputus, berlakunya pengkhianatan dan akhirnya saling musuh-memusuhi. Inikah yang kita mahukan daripada umat Islam?
Justeru, jika ada sesuatu perkara yang kita pandang itu tidak pasti maka selidikinya terlebih dahulu dan jangan sesekali dengan mudah kita menjatuhkan hukuman tanpa mengetahui keadaan sebenar. Bukankah Allah SWT mengutamakan kita agar selidiki sesuatu kebenaran sama ada kita melihatnya sendiri ataupun kita mendengarkannya daripada orang lain? Ingatlah! ‘Su’udzon’ membawa bencana! Lazimilah sikap bersangka baik supaya terpelihara daripada dosa kecuali kepada hal-hal yang sudah terang dan jelas ianya sebuah maksiat. Sabda Rasulullah SAW:
“Sangkaan yang baik itu ialah setengah dari seelok-elok ibadah.” (HR Abu Daud dan Ibnu Hibban).
Sumber: Sinar Harian (13 Februari 2021)