Perkakasan dan peralatan yang berasaskan peranti bercirikan kecekapan teknologi sudah menjadi lumrah masa kini. Setiap kerja harian kita banyak bergantung kepada pelbagai perkakasan moden yang memberikan kemudahan dalam kehidupan. Hal itu termasuk dalam bidang komunikasi dan perhubungan yang jelas menunjukkan peralatan peranti moden menjadi medium utama digunakan. Malah, cara penyebaran maklumat dan berita juga menjadi satu sebaran meluas menerusi penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Tiktok dan lain-lain platform. Kesemua media sosial ini seolah-olah menjadi medan serba guna untuk menyalurkan apa sahaja bahan untuk tatapan orang lain.
Namun, dalam menyebarkan maklumat dan informasi di media sosial, kita tidak akan terlepas daripada terdedahnya penyaluran maklumat berbentuk fitnah. Sejak kebelakangan ini, terdapat segelintir penggunaan media sosial yang lebih ke arah menaburkan benih fitnah dan menyebarkan dengan sewenang-wenangnya sesuatu bahan laporan yang kurang dipastikan kesahihannya. Demikian jugalah dengan sesuatu yang berbentuk hasutan, sindir-menyindir dan menyiarkan bahan ala provokasi melampau. Situasi seperti ini sangat jauh daripada kebaikan dan amat terlarang dalam agama. Seharusnya platform media sosial diguna pakai sebagai saluran yang menjuruskan kepada kebaikan dan kemanfaatan. Tahukah kita apa balasannya kepada penyebar fitnah? Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (HR Muslim).
Dalam menyampaikan sesuatu maklumat, selidikilah dahulu kebenarannya. Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai umat Islam agar sentiasa bertabayyun dalam menerima penyampaian berita? Allah SWT berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (QS Al – Hujurat: 6).
Biarlah lidah dan jari-jemari kita menjadi asbab kepada ‘terbukanya’ pintu syurga dan bukannya menjadi penyebab kepada kemurkaan Allah SWT. Biarlah kemodenan yang datang menjelma tidak membuatkan diri kita terkikis iman dan takwa kepada Allah SWT, sebaliknya jadikannya sebagai alat mencambah lagi rasa ingin menaburkan kebaikan demi kemaslahatan ummah. Hal itu kerana media sosial tidak lain adalah alat pemudah cara untuk komunikasi sesama insan yang mampu membenih rasa ihsan dan kemanusiaan sesama manusia.
Usah jadikan media sosial platform saling bersaing dalam membuat sesuatu unsur yang mungkar, sebaliknya sebagai umat Nabi Muhammad SAW sewajarnya memanfaat kemudahan itu sebagai alat pengutuh iman dan takwa kepada Allah SWT. Ingatlah, bahawa apa sahaja perbuatan yang dilakukan di dunia segalanya akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT, marilah kita berusaha mengumpulkan sebanyak-banyaknya pahala menerusi media sosial untuk manfaat kebaikan kepada masyarakat Islam dan bukannya medan pembiakan dosa.
Sumber: Harian Metro (23 Jun 2022)