Home Kemanusiaan/Motivasi JAHIL ATAU PENGARUH LIBERALISME? TINDAKAN SEORANG “PELAWAK” YANG MEMPERSENDAKAN AGAMA ISLAM...

JAHIL ATAU PENGARUH LIBERALISME? TINDAKAN SEORANG “PELAWAK” YANG MEMPERSENDAKAN AGAMA ISLAM WALAUPUN HANYA SEKADAR HIBURAN ADALAH PERBUATAN BIADAB KERANA MENGHINA KESUCIAN ISLAM

513
0

Dalam kehidupan kita, tidak salah untuk berhibur. Akan tetapi dalam hiburan, ada batas-batas yang perlu kita hadkan. Sebagai contoh, dilarang berhibur sambil menyentuh sensitiviti kaum, agama dan juga fizikal seseorang (body shaming). Seperti insiden yang berlaku baru-baru ini di mana seorang pelawak amatur dikatakan menghina agama Islam dalam lawaknya di mana beliau dengan sengaja membuka pakaian dan hijabnya di hadapan penonton.

Perbuatan ini sangat melampaui batas dan mencabar maruah Islam! Firman Allah SWT:

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main. Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?.” (QS At – Taubah: 65).

Hari ini, ramai manusia yang suka mempermainkan kalimah Allah SWT malah mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang bercanggah dengan akhlak dan akidah Islam. Tidak sedarkah mereka dengan kebiadapan sebegini mengundang kemurkaan Allah SWT? Alpakah mereka bahawa tindakan itu amat bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW? Dalam hal ini Allah SWT menegaskan melalui firmanNya dalam surah al-An’am ayat 70: 

“Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab Neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”

Sebagai seorang Muslim kita diminta untuk sentiasa berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara yang tidak mendatangkan faedah dan boleh mencemarkan Agama Islam. Janganlah hanya kerana mahukan populariti maka kita sanggup mempersendakan agama sendiri. Sabda Rasulullah SAW:

“Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya.” (HR At – Tirmidzi).

Jauhkanlah diri kita daripada golongan-golongan yang mempersendakan agama walaupun sekadar untuk berhibur. Ini kerana kesucian agama Islam bukanlah suatu hiburan untuk dipersendakan. Allah SWT berfirman:

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.” (QS Al-An’am: 70).

Oleh itu, sebagai umat Islam kita wajib menjaga kesucian agama Islam dan jangan sesekali mencabulinya dengan mempersenda-senda atau memperolok-olakkan kedaulatan yang diangkat sehingga tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3: Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Sumber: Petikan Khutbah Jumaat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)