Berkasih sayang sesama Muslim itu tidak sekadar sayang –menyayangi sahaja, akan tetapi ia mesti dibawa bersama dengan rasa tanggungjawab. Tidak gunalah jika di mulut kita hanya berkata harus menyebarkan perasaan kasih dan sayang kalau tidak disertakan dengan tindakan. Hubungan sesama manusia adalah sebahagian daripada kehidupan kita yang mengimpikan kesejahteraan dan kemakmuran. Kita melihat bagaimana Islam mengajar umatnya berinteraksi sesama manusia dengan cara yang baik dan akhlak mulia.
Islam mengajar kita bahawa seorang Muslim yang beriman akan memegang prinsip asas di mana jika kita tidak dapat memberi manfaat kepada seseorang, maka jangan memudaratkan mereka. Jika kita tidak dapat menggembirakan, maka jangan sedihkan mereka. Jika kita tidak dapat memuji, janganlah mengeji. Firman Allah SWT:
“Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Melainkan mereka yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah (kasih sayang) mereka diciptakan.” (QS Hud: 118 – 119).
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang pengasih itu ialah orang yang dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih, maka kasihilah makhluk yang ada dibumi, niscaya makhluk Allah SWT yang ada di langit akan mengasihimu” (HR At-Tirmidzi).
Allah SWT menciptakan manusia supaya dapat berkasih sayang antara satu sama lain. Jadi kita harus menyebarkan kasih sayang itu seluas-luasnya kerana ianya merupakan tuntutan iman dan asas penyatuan ummah. Namun, jika persengketaan menjadi pilihan, maka Allah SWT akan menghukum mereka dengan kehinaan. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman:
“Jika kamu inginkan rahmatKu, maka kasihanilah makhluk ciptaanKu.”
Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan. Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling menyayangi di antara satu sama lain.
Sifat kasih dan sayang mesti menjadi satu fenomena penting bagi umat mengembalikan mereka kepada penyatuan sebenar. Sifat kasih sayang akan mencetuskan perasaan gembira pada orang lain serta menghilangkan kesedihannya. Ayuh kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama Mukmin dan saling tolong – menolong di antara satu sama lain. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga adalah satu kewajipan.
Sumber: Koleksi Hadis Jimaain bin Safar, people @utm