Westernasi merupakan sebuah program modernisasi untuk mengarahkan cara berfikir manusia menjadi sekular. Antaranya adalah ateisme yang menyebabkan pemecahan keyakinan terhadap kewujudan Tuhan dan pemisahan sains dengan agama.
Pandangan ateisme barat melahirkan skeptisisme iaitu ketidakpercayaan atau keraguan seseorang terhadap sesuatu yang belum tentu kebenarannya. Hal ini cukup terlihat dalam kehidupan masyarakat barat yang hidup tanpa Tuhan. Bukan itu sahaja, ateisme lebih cenderung menggunakan akal empiris berdasarkan fakta dan pembuktian sains. Ianya dikuatkan dengan hujah Stephen Hawking yang mendakwa dirinya ateis dan menawarkan penjelasan yang lebih masuk akal tentang asal-usul alam semesta daripada agama. Beliau berpendapat bahawa untuk mengenal sains maka unsur Tuhan harus dipisahkan. Kewujudan alam semesta adalah hasil fenomena yang boleh dijelaskan secara sains, bukan kerana Tuhan. Sekiranya Tuhan itu wujud sudah tentu kita akan dapat mengetahui semua yang yang diketahui Tuhan, tetapi ternyata Tuhan itu tidak wujud.
Berlainan pula dengan perspektif Islam di mana keyakinan terhadap kewujudan Tuhan dibuktikan dengan dalil-dalil al-Quran dan hadis sehingga tidak menafikan Tuhan dalam sains dan ilmu pengetahuan. Islam hadir sebagai agama yang sempurna menjadikan wahyu sebagai sumber ilmu. Al-Quran sebagai rujukan pertama dalam hierarki sumber ilmu dalam epistemologi Islam. Sementara hadis berfungsi sebagai sandaran kedua setelah wahyu dalam menjelaskan ayat-ayat al-Quran.
Apabila akal bekerja sejalan dengan tuntutan-tuntutan wahyu, maka akan terlihat kolerasi yang meyakinkan. Akal mempermudahkan kita untuk mengimplimentasikan ajaran agama dan memberi solusi yang terbaik untuk mendapatkan hasil semaksima mungkin dalam kehidupan beragama. Oleh sebab itu, akal dalam Islam menolak ateisme yang beraggapan bahawa Tuhan tidak mempunyai peranan sama sekali terhadap penciptaan alam semesta ini.
Islam membuktikan kewujudan Tuhan secara rasional sebagaimana yang diungkapkan ulama-ulama Islam yang sudah tentunya merujuk kepada konteks wahyu dan Sunnah. Ateisme dikritik oleh Islam kerana telah melakukan pemaknaan secara sepihak terhadap agama dan keyakinan kepada Tuhan. Oleh itu, umat Islam terutamanya berbangsa Melayu yang semakin ramai berfahaman ateis, mengapa lagi menolak kewujudan Tuhan dan keyakinan terhadap Tuhan sedangkan bukti jelas telah diterangkan di dalam al-Quran dan hadis?
Sumber: Jurnal Kalimah, Vol. 17 No. 1, 2019