Home Ajaran Sesat SOLAT BERCAMPUR LELAKI DAN PEREMPUAN DI MESIR JANGAN TERPENGARUH DENGAN AMALAN YANG...

SOLAT BERCAMPUR LELAKI DAN PEREMPUAN DI MESIR JANGAN TERPENGARUH DENGAN AMALAN YANG DIRAGUI KEBENARANNYA KERANA DIBIMBANGI AKAN MENYESATKAN AKIDAH

730
0

Tanggal 10 Julai 2022 masyarakat Islam seluruh dunia telah menyambut hari raya aidiladha bersempena dengan mengingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. kerana ketaatannya untuk menunaikan perintah Allah SWT. Dalam merayakan hari penuh bermakna ini, sudah tentu diikuti dengan solat sunat aidiladha yang secara adat kebiasaannya didirikan di masjid qariyah masing-masing.

Dalam kesibukan umat Islam menyambut aidiladha, kita dikejutkan pula dengan isu yang diviralkan di media sosial mengenai kejadian yang berlaku di Mesir. Video dan berita yang tular di media sosial tersebut mula menjadi kontroversi dan perbincangan di kalangan orang ramai kerana ia adalah mengenai pelaksanaan solat aidiladha di kawasan lapang atau terbuka yang melibatkan percampuran jemaah lelaki dan perempuan di dalam saf yang sama. Perkara ini secara tidak langsung mendatangkan kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan umat Islam sendiri ketika membahas isu ini.

Persoalannya, apakah hukum percampuran lelaki dan perempuan dalam satu saf dan adakah solat itu dikira sah? Dalam soal ini para ulama telah membahaskan dengan panjang lebar. Ada mazhab yang mengatakan sah di atas syarat-syarat tertentu dan ada mazhab yang mengatakan tidak sah.

Menurut hujah dan pandangan para fuqaha, mereka telah memutuskan bahawa solat orang lelaki bersebelahan dengan orang perempuan dengan terdapatnya tirai penghadang adalah tidak membatalkan solat. Bahkan Imam Abu Hanifah yang kebanyakan hukumnya tidak seketat Imam Syafie turut bersetuju dengan pendapat ini. Lebih-lebih lagi melihat keadaan surau atau ruang masjid yang sempit dengan kehadiran jemaah yang begitu ramai hadir untuk menunaikan solat-solat sunat perayaan seperti aidiladha.

Namun apa pun situasi percampuran yang berlaku, umat Islam perlu ada pengetahuan tentang kedudukan imam dan makmum dalam solat yang didirikan secara berjemaah. Nabi SAW ada bersabda bahawa jika jemaah perempuan bersolat bersama dengan jemaah lelaki, maka seburuk-buruk saf perempuan adalah di awal dan sebaik-baiknya adalah di akhir.

Sesungguhnya kelebihan saf perempuan itu di akhir adalah kerana jauhnya mereka daripada bercampur dengan kaum lelaki, mengelak pandangan mereka terhadap kaum lelaki sehingga boleh menyebabkan hati mereka terpaut pada gerak-geri dan mendengar kalam mereka.

Walaupun susunan ini tidak membawa hukum wajib, tetapi hukumnya adalah mustahab (sunat) kerana di sana ada beberapa situasi yang memungkinkan untuk lelaki dan perempuan bercampur dalam satu saf. Maka setiap perkara sunat yang dilanggar hukumnya adalah makruh.

Persoalannya, apakah menepati syariat Islam dengan melaksanakan solat dalam keadaan bercampur gaul dan keadaan aurat yang tidak sempurna dan dalam batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tidak menepati syariat. Gambaran yg dilihat seolah-olah umat Islam di Mesir juga sudah dipengaruhi oleh fahaman liberal yang semakin memandang remeh tentang isu aurat serta pergaulan lelaki perempuan. Walau bagaimanapun, ulama membahaskan keharusan percampuran jemaah solat antara perempuan dan lelaki seperti yang berlaku di Mekah kerana situasi yang sukar dan tidak dapat dielakkan. Namun ia amat berbeza dengan suasana di Mesir yang dilihat jemaahnya yang lebih santai dalam suasana yang lebih terbuka. Apa yang berlaku sebenarnya dalam pelaksanaan solat di tempat terbuka dan bercampur antara lelaki dan perempuan tersebut, masih belum jelas.

Namun, budaya percampuran lelaki dan perempuan dalam saf solat di negara kita memang tidak boleh diterima. Budaya percampuran lelaki dan perempuan dalam melaksanakan ibadah, apalagi melaksanakan solat bukan budaya kita dan masih diragui tentang keharusannya meskipun ulama berbeza pandangan tentangnya. Keadaan di luar negara seperti di Mesir mungkin berbeza, namun janganlah dibawa fahaman ini ke negara kita kerana ianya akan mengakibatkan berlakunya kekeliruan pada masyarakat Islam sendiri malah dikhuatiri boleh berlakunya perpecahan akibat berlainan pandangan.

Rujuklah pada pandangan mufti yang boleh mengesahkan sesuatu isu dalam hal agama dan janganlah membuat kesimpulan sendiri demi membenarkan perbuatan kita. Kita khuatiri, jika tersalah merujuk kepada ‘ahli agama’ dari golongan Islam liberal maka penjelasan yang diberikan nanti adalah penjelasan yang salah kerana mereka mentafsirkan al-Quran berdasarkan logik akal yang akan menyesatkan.

Sumber: al Kafi li al Fatawi #641, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan