Ancaman akidah telah berlaku semenjak zaman dahulu lagi dan kebanyakannya adalah datang dari golongan bukan Islam atau lebih spesifiknya disebabkan oleh fahaman-fahaman baru yang diwujudkan oleh negara-negara Barat yang mengasingkan agama dengan skop kehidupan yang lain seperti politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Hal ini selari dengan konsep liberalisme yang dicipta oleh Barat semasa zaman kegelapan mereka yang menganggap agama Kristian atau para paderi adalah punca kemunduran dan terasa dikongkong.
Namun, fahaman liberal ini diadaptasi oleh sebahagian umat Islam sehingga tersebarnya ke Malaysia dan semakin meresapi sebahagian besar umat Islam di Malaysia termasuklah dalam kalangan golongan profesional. Melalui kes Nik Elin ini, dapat digambarkan bahawa ancaman akidah yang dilakukan oleh umat Islam sendiri adalah lebih bahaya kerana dianggap sebagai ‘musuh dalam selimut’. Walaupun tidak tahu apakah niat sebenarnya untuk mencabar 21 seksyen enakmen mahkamah syariah Kelantan tersebut, biarpun tindakan tersebut adalah sah disisi undang-undang , namun hakikatnya tanpa disedari fahaman liberal telah meresapi pemikiran umat Islam. Semua berkaitan syariat hendak disemak semula kononnya atas paksi hak kemanusiaan, hak kebebasan, sedangkan hukuman mahkamah syariah itu adalah paling ringan berdasarkan ijtihad ulama yang meletakkan hukuman takzir sahaja berbanding hudud sebagai pengajaran kepada umat Islam yang lain.
Pengajarannya, undang-undang adalah satu medium yang mengikat manusia supaya tidak bertindak di luar normalisasi masyarakat. Begitu juga dengan undang-undang syariah yang menfokuskan kepada umat Islam supaya membataskan diri dari melakukan apa-apa perkara di luar syariat. Walaupun hukuman yang diberikan hanyalah hukuman takzir yang terhad kepada maksima tiga tahun penjara, lima ribu ringgit dan enam kali sebatan, namun sekurang-kurangnya ia dapat memberi pengajaran dan merubah seseorang itu ke arah yang lebih baik dan bertaubat. Itulah hikmahnya jika dipandang dari sudut teologi. Semoga dengan berlakunya kes ini, dapat membuka mata para pengamal undang-undang untuk memperbaiki kelompongan dan menambah baik peruntukan mahupun kuasa undang-undang syariah pada masa akan datang. Walaupun atas kertas mahkamal sivil adalah lebih berkuasa berbanding mahkamah syariah, namun semoga atas budibicara dan kebijaksanaan hakim-hakim dapat mempertahankan agama Islam dan seterusnya mengekalkan keharmonian dalam negara.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – OGOS 2023