‘AKU SEORANG BEKAS MUSLIM’ adalah nama blog yang dikendalikan oleh Abu Yusuf al-Malizi. Penulis blog tersebut secara terbukanya telah mengisytiharkan bahawa dirinya adalah seorang Melayu dan bekas muslim. Pada ketika ini, beliau mengaku bahawa dirinya tiada agama, menentang propaganda dan ingin membongkarkan kepalsuan Islam.
Sebagai contoh dalam satu ‘posting’ nya yang mengupas berkenaan isu ilmu hitam dan Islam. Dalam isu ini beliau mendakwa tidak percaya dengan ilmu hitam ini kerana tiada satu pun bukti sainstifik yang meyakinkan menyatakan bahawa wujudnya hantu, jin atau syaitan. Katanya ilmu hitan melanggar logik akal, tidak dijangka, tidak mengikut aturan alam, melawan hukum fizik serta boleh dianggap sebagai karut dan mitos.
Dakwanya lagi, sekiranya ilmu hitam itu benar berlaku, namun ia tidak membuktikan bahawa Islam itu benar atau mana-mana agama itu betul. Hal ini kerana menurutnya tok sami Buddha pun mampu menghalau hantu dan ilmu hitam dari badan pesakit apabila dibacakan mantera-mantera daripada agama Buddha. Begitu juga dengan paderi Kristian, Rabbi Yahudi, Pendeta Hindu dan Ustaz Islam yang turut mampu untuk menghalau dan menyembuhkan penyakit ilmu hitam dengan bacaan dari kitab suci agama masing-masing. Jadi mengapa perlu ada agama?
Ternyata sekali penulisan di dalam blognya penuh dengan kata-kata nista terhadap Islam dan yakin bahawa Islam tidak boleh dipercayai kerana menganggap ianya bukan dari Tuhan. Seruannya untuk mengembangkan kelompok masyarakat Melayu bukan Islam di Malaysia secara terang-terangan seharusnya perlu dikhuatiri dan dibendung oleh semua pihak berwajib mahupun individu kerana seruan ini mampu mempengaruhi minda dan akidah masyarakat Islam yang lemah.
Sumber: unit penyelidikan al-Haqcentre Malaysia dan abu-yusufmalizi.blogspot.com