Home Kemanusiaan/Motivasi BERAKHLAK MULIA TERHADAP SEMUA MAKHLUK ALLAH ADALAH AMALAN TERPUJI

BERAKHLAK MULIA TERHADAP SEMUA MAKHLUK ALLAH ADALAH AMALAN TERPUJI

772
0

Hidup kita sebagai umat Islam dan juga hamba kepada Allah SWT di dunia ini tidak lain hanyalah untuk melakukan kebaikan agar beroleh ganjaran syurga di akhirat sana. Antara perkara termasuk dalam melakukan kebaikan adalah berakhlak mulia yang harus ditunjukkan dalam hal perbuatan, percakapan dan juga tulisan. Dengan kecanggihan zaman pada hari ini, kita boleh lihat manusia boleh melakukan sesuatu atau bercakap serta menulis apa sahaja yang mereka inginkan tanpa memikirkan batas dan had.

Jadi, sebagai umat Islam yang mengikuti ajaran al-Quran dan As-Sunnah adalah menjadi kewajipan kepada kita agar sentiasa berakhlak mulia terhadap semua kaum tidak kiralah dari segi perbuatan, percakapan ataupun tulisan. Sabda Rasulullah SAW:
“Mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya” (HR Abu Daud).

Dalam hadis yang lain, Daripada ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya ALLAH SWT itu lemah lembut dan suka kepada lemah lembut. Dan DIA memberi hasil kerana lemah lembut itu apa yang tidak DIA berikan atas tindakan yang kasar atau tindakan lainnya.” [HR Muslim]

Nilai dalam Islam berdasarkan wahyu dan kehendak Allah SWT berpandukan kepada dua perkara. Pertama melakukan perkara yang wajib adalah disuruh dan disukai oleh Allah SWT, serta akan mendapat ganjaran pahala atas kebaikan dilakukan. Kedua, perbuatan yang haram akan dibenci Allah dan akan mendapat pembalasan buruk. Dan kita hendaklah sentiasa mengawal diri supaya tidak melakukan perkara yang tidak disukai Allah SWT.

Justeru, semua Muslim perlu menjadi penunjuk nilai kepada akhlak mulia dalam kehidupan, sekali gus menonjolkan jati diri keislaman. Tuntutan berakhlak mulia ini bukan sahaja terhad kepada manusia tanpa mengira bangsa dan agama, malah juga terhadap haiwan seperti sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya:

“…Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?” Rasulullah SAW bersabda:”(Berbuat baik) kepada setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala” (HR al-Bukhari).

Justeru, hanya dengan melazimi sifat berakhlak mulia terhadap semua makhluk Allah, barulah Muslim benar-benar mendokong risalah dibawa junjungan Nabi Muhammad SAW secara sepenuhnya.

Sumber: ‘Tuntutan berakhlak mulia melangkaui budaya, agama’ Berita Harian, 12 Okt. 2020.