Home Kemanusiaan/Motivasi JIHAD MELAWAN HAWA NAFSU MERUPAKAN JIHAD YANG PALING UTAMA DAN PALING SUKAR...

JIHAD MELAWAN HAWA NAFSU MERUPAKAN JIHAD YANG PALING UTAMA DAN PALING SUKAR UNTUK DITANGANI OLEH UMAT ISLAM

3421
0

Melawan hawa nafsu merupakan satu keperluan utama bagi seseorang Islam. Ini kerana jika seseorang sudah mampu menundukkan hawa nafsunya maka sudah tentu seseorang itu berjaya menundukkan musuhnya dan musuh lain yang ada dianggap lebih kecil.  Oleh itu, tidak heran jika Rasulullah SAW menyebutkan bahawa jihad terbesar adalah jihad melawan hawa nafsu seperti sabda baginda yang bermaksud:

“…Jihad yang paling utama adalah jihad melawan hawa nafsu kerana Allah” (HR Ahmad, Tarmizi dan Ibn Hibban).

Di dalam e-Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berjudul “Jihad dan konsepnya”, jihad melawan nafsu ini telah dibahagikan kepada empat bahagian iaitu jihad melawan nafsu untuk mempelajari ilmu dan agama yang benar, jihad melawan nafsu untuk mengamalkan ilmu selepas mempelajarinya, Jihad melawan nafsu untuk menyampaikan ilmu kepada mereka yang jahil dan jihad melawan nafsu untuk bersabar menanggung beban dakwah dan cercaan manusia serta melakukannya semata-mata kerana Allah.

Walau bagaimanapun, amatlah penting bagi kita rakyat Malaysia untuk mempelajari bagaimana untuk melawan hawa nafsu terhadap diri sendiri terlebih dahulu. Ini kerana petanda kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat ialah apabila mereka begitu mudah mengikut hawa nafsu. Mereka akan berusaha memenuhi kehendak hawa nafsu dan menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperoleh apa dikehendaki.

Firman Allah SWT:

 “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (QS al-‘Ankabut : 69)

Sifat hawa nafsu perlu dikawal, disekat dan ditentang tetapi bukanlah dengan langkah yang drastik kerana jiwa dan diri manusia memerlukan masa yang panjang untuk membetulkan tabiat serta sikap selain mempunyai tenaga mencukupi bagi membendung hawa nafsu. Umpamanya, untuk menundukkan perasaan tamak haloba memerlukan perjuangan yang panjang.

Oleh itu, jika seseorang itu mencintai Allah maka dia sanggup memikul kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah. Perkara utama ditekankan al-Quran bagi menentang hawa nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan maksiat kepada Allah ialah menunaikan ibadah solat. Akan tetapi, ia perlulah dilakukan secara konsisten dengan harapan agar harapan mendapatkan keredaan-Nya.

Sumber: Berita Harian “Jihad lawan hawa nafsu” (25 Disember 2015) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)