Home Ateis AWAS!!! JANGAN TERPENGARUH DENGAN FAHAMAN ATEIS DAN GERAKAN MURTAD YANG SEMAKIN BERKEMBANG...

AWAS!!! JANGAN TERPENGARUH DENGAN FAHAMAN ATEIS DAN GERAKAN MURTAD YANG SEMAKIN BERKEMBANG DI LAMAN SOSIAL

1907
0

Mutakhir ini, terlalu banyak kumpulan-kumpulan yang berfahaman liberal, kumpulan ateis dan gerakan murtad wujud bak cendawan tumbuh selepas hujan. Apa yang membimbangkan, kumpulan-kumpulan ini bukan sahaja bergerak secara fizikal, malah ia sudahpun mula bergerak secara maya. Jangan tidak percaya bahawa sekarang sudah pun wujud kumpulan persendirian maya (online private group) bagi kumpulan ini untuk menyebarkan dakyah mereka dan memburukkan imej Islam.

Kumpulan tersebut telah menggunakan satu budaya baru iaitu dengan mewujudkan beberapa akaun palsu (fake account) di laman media sosial dan menjadikan anak-anak muda Melayu yang berfahaman ateis menghina agama Islam, Allah SWT, Rasulullah SAW dan sistem perundangan Islam. Bahkan, ada yang berani memuatnaik kenyataan secara lawak bahawa mereka ingin mengenakan pakaian beragam (cosplay) menyerupai Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Allah SWT sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Allah SWT berfirman:

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” (QS at-Taubah: 65-66)

Adakah perkara ini dianggap lucu? Tidak sama sekali! Mempermainkan agama Allah sebegitu, boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur. Ini kerana di dalamnya terdapat unsur-unsur penghinaan dan provokasi yang menyebabkan golongan cetek pengetahuan mengenai agama terpengaruh dan merasakan itu sesuatu yang normal.

Oleh itu, pihak-pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam dengan kerjasama pihak-pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia wajar memperketatkan usaha penularan ‘ajaran’ sebegini daripada menyusup masuk ke dalam negara kita secara halus. Hal ini kerana kita mahu menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini khususnya golongan belia yang masih rapuh imannya.

Apa yang boleh dilakukan saat ini adalah pergiatkan usaha dakwah secara berterusan kepada golongan sasaran tidak kira secara fizikal atau dunia maya. Cari solusi bagaimana untuk memberikan informasi dengan lebih tepat kepada golongan belia agar berhati-hati dengan dakyah kumpulan-kumpulan berikut. Sebagai contoh ‘street dakwah’ secara santai atau penghasilan content video yang menarik minat mereka dalam memahami keindahan Islam. Dengan cara ini, barulah dakwah Islam berjaya mengatasi fahaman atheist dan murtad secara mudah dan cepat.

Sumber: Youtube Channel Tarbiah Sentap: “Melayu Atheist, Liberal Dan Murtad Makin Ramai?”