Home Kemanusiaan/Motivasi BERHATI-HATI DENGAN FITNAH DI MEDIA SOSIAL ‘TABAYYUN’ (SELIDIK KEBENARANNYA) SEBELUM...

BERHATI-HATI DENGAN FITNAH DI MEDIA SOSIAL ‘TABAYYUN’ (SELIDIK KEBENARANNYA) SEBELUM MENYEBARKAN BERITA KERANA MENYEBAR BERITA PALSU ADALAH SATU FITNAH YANG BERDOSA BESAR DAN MENDAPAT AZAB YANG PEDIH DI AKHIRAT KELAK

1073
0

Fitnah dan fitnah yang berterusan sering ditimbulkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab bertujuan untuk menimbulkan kepanikan terhadap rakyat negara ini, apatah lagi dunia sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19. Lebih banyak fitnah yang diwujudkan sama ada terhadap petugas-petugas kesihatan, penggunaan vaksin yang tidak diiktiraf dan juga ramalan-ramalan karut yang dikatakan berkaitan dengan konspirasi negara-negara besar dunia. Firman Allah SWT:

“Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirianmu yang benar dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendadapatnya dan amalannya), pindah percakapan orang kerana untuk merosakkan orang. Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah-belahkan orang ramai).” (QS Al – Qalam: 10-11).

Mengambil salah satu contoh fitnah yang sering berlegar di ruangan media sosial kini, iaitu penggunaan vaksin yang tidak diiktiraf dan juga ramalan penggunaan vaksin yang memendekkan jangka hayat manusia. Ini sememangnya salah satu berita palsu yang disebarkan secara rantaian tanpa merujuk kepada pakar kesihatan. Apa yang menyedihkan, berita ini disebarkan beserta hadis yang tidak diketahui sumber kesahihannya. Mengapa menggunakan nama agama Islam untuk menyebarkan ketakutan kepada rakyat? Bukankah agama Islam itu agama damai dan menyenangkan?

Lagipun, pihak Majlis Keselamatan Negara sudah mengesahkan bahawa vaksin yang diterima tidak mengandungi bahan yang membahayakan tubuh badan dan diiktiraf halal serta semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa. Mereka juga perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP). Penjelasan sudah diberikan mengapa perlu ada fitnah? Untuk mensabotaj usaha pemulihan negara?

Usahlah jadi kaki, tangan dan mulut dalam menyebarkan berita palsu! Pahala yang ada pada diri tidak sebanyak mana, tetapi kita cukup bergembira untuk menambah dosa. Tambahan pula kepada petugas-petugas kesihatan yang banyak bekorban nyawa untuk menyelamatkan nyawa umat manusia. Jangan timbulkan kepanikan terhadap rakyat dengan dosa memfitnah yang tidak terampun. Ingatlah! Balasan memfitnah ini amat dasyat. Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenaran), maka dia tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (HR Bukhari: 6477).

Sumber: Harian Metro (24 Februari 2020)