Isu-isu berkaitan menghina agama Islam bukanlah sesuatu yang baru. Ia berlaku setiap masa dan berlaku di seluruh dunia. Di Barat umpamanya, ia timbul akibat sentimen Islamofobia dan mengaitkan Islam dengan keganasan.
Cuma baru-baru ini kita dikejutkan berikutan tularnya video penghinaan terhadap agama Islam yang dimuat naik oleh seorang lelaki Melayu yang digelar sebagai Muzil Juling. Kita hendaklah sedar bahawa sentimen agama adalah sesuatu perkara yang serius dan perlu dijaga dengan sebaiknya agar tidak menimbulkan perbalahan mahupun pertumpahan darah hingga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Kita memang marah saat agama Islam dihina, akan tetapi kita juga perlu tahu yang dalam agama Islam kita diajar untuk tidak menghina agama lain apatah lagi agama sendiri. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda Yang mereka sembah Yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (QS Al-An’am: 108).
Di dalam video tersebut, telah diperlihatkan bagaimana Muzil Juling telah menghina agama Islam, mencaci maki Allah SWT dan juga Rasulullah SAW. Ini sangat merbahaya kepada kita sebagai umat Islam kerana ia mungkin bakal menjadi trend atau ikutan buat golongan bukan Islam kerana menganggap ianya perkara biasa sedangkan penganutnya sendiri pun mencela agama anutan mereka.
Dalam hal ini, apa yang sepatutnya kita lakukan?
Kita memang rasa sangat marah atas penghinaan terhadap agama kita, Nabi kita malah Allah SWT dicerca. Tapi kita juga jangan bersikap gopoh atau melampau batas dengan menyerang mereka yang menghina Islam meskipun perasaan kita sangat marah dan hati kita sangat sakit akibat agama suci kita dihina, dicerca dan dipermainkan. Pergaduhan dan kekasaran bukanlah jalan penyelesaian yang tepat. Malah kita dilarang sama sekali untuk bertindak sendiri mengikut perasaan marah kerana tindakan tersebut bukanlah berlandaskan syariat kerana ia melibatkan kekerasan dan mungkin pembunuhan. Selain itu, tindakan sendiri hanya akan memburukkan imej Islam sekaligus menimbulkan kebencian dan ketakutan orang bukan Islam dengan ajaran Islam. Dalam negara kita, ada peruntukkan undang-undang yang bertujuan untuk menghalang sebarang perlakuan yang menghina agama Islam. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan agar tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka yang terlibat. Bagi kes Muzuil Juling, kes beliau juga perlu ditangani oleh pihak berkuasa agama seperti JAKIM, Jabatan Agama dan NGO Islam untuk memberi kaunseling agama dan sebagainya kerana perbuatannya tersebut telah membuatkan beliau jatuh murtad.
Kita sebagai umat Islam seharusnya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada semua umat manusia bahawa Islam ini agama yang damai, agama yang sejahtera dan membenci persengketaan di antara satu sama lain.
Ambillah contoh daripada peristiwa pembunuhan Salahuddin Jitmoud, seorang Muslim warga Amerika Syarikat pada tahun 2015, apabila bapanya, Dr Abdul Munim Sombat Jitmoud memaafkan pembunuh anaknya yang berbeza agama. Secara tidak langsung beliau telah menunjukkan sisi baik dan tegas agama Islam di mata rakyat Amerika Syarikat yang selama ini menganggap Islam sebuah agama keganasan. Sudah sampai masanya kita menghentikan budaya menyentuh sentiviti agama ini sebaliknya menjaga keamanan semua agama kerana ia tidak membawa sebarang faedah melainkan persengketaan yang berpanjangan. Allah SWT berfirman:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” (QS Al – Nahl: 125).
Agama Islam wajib dijaga kesuciannya. Dengan memahami perkara asas ini, umat Islam lebih-lebih lagi pada saat berdepan dengan kelompok manusia daripada pelbagai agama perlu berpegang teguh terhadap prinsip Islam. Meskipun agama Islam menggesa umatnya agar tidak menghina atau mempermainkan agama lain, namun hal ini tidak bermakna ketetapan Islam boleh diketepikan. Tidak ada toleransi dalam soal menjaga prinsip agama Islam kerana ia perkara yang menjadi tonggak bagi menzahirkan kebenaran Islam.
Ketinggian ajaran Islam perlu sentiasa dipelihara oleh setiap umatnya. Bukan sahaja dengan memelihara setiap tingkah laku, malah turut melibatkan hal seperti mengulas sesuatu perkara yang boleh mencalarkan nama baik Islam. Sebagai contoh, sekiranya terdapat mana-mana orang Islam yang terlibat dalam kesalahan tertentu, maka janganlah tatkala mengkritik perbuatan tersebut maka Islam dipalitkan dengan keburukan tersebut. Begitu juga, kita tidak boleh menggunakan jalan kekerasan dan jangan bertindak sendiri atas sentimen marah yang meluap-luap, kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah bahkan dikhuatiri akan menimbulkan masalah lain pula ekoran tindakan kekerasan yang diambil tersebut. Kita perlu bertindak dengan bijak dan tidak terlalu mengikut emosi. Kita perlu menyerahkan kepada pihak yang berwajib untuk menyelesaikannya. Cuma dalam masa yang sama, pihak berkuasa yang menguatkuasakan undang-undang perlu mengambil serius dan bersikap tegas untuk menangani perkara ini serta undang-undang yang ada perlu diperketatkan lagi agar kejadian yang sama tidak berulang.
Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan