Home Liberalisme GERAKAN ISLAM LIBERAL ADALAH GERAKAN BERTOPENGKAN ISLAM YANG MEROSAKKAN AKIDAH UMAT ISLAM

GERAKAN ISLAM LIBERAL ADALAH GERAKAN BERTOPENGKAN ISLAM YANG MEROSAKKAN AKIDAH UMAT ISLAM

2055
0

Golongan liberal adalah tergolong dalam kelompok tafrith (terlalu memudah-mudahkan atau terlalu meremehkan) dalam menafsirkan Islam, tidak mahu terikat dengan al-Quran dan as-Sunnah sebaliknya menjadikan akal sebagai kayu ukur dalam memahami agama.

Islam sebenarnya tidak menolak akal dan tidak juga mengangungkan akal. Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Iqtisad fi al-I’tiqad antaranya menyatakan:

“Akal itu umpama penglihatan yang sempurna. Al-Quran umpama matahari yang menyinari alam, melalui kedua-duanya seseorang memperoleh hidayah. Seseorang yang mengambil satu daripadanya tergolong dalam kalangan yang bodoh. Orang yang menolak akal hanya cukup dengan al-Quran adalah sama dengan mereka yang mendapat cahaya matahari tetapi menutup mata, maka dia tidak berbeza dengan orang yang buta.”

Gerakan Islam liberal sebenarnya adalah satu gerakan yang berusaha secara halus untuk memisahkan umat Islam dengan agama tanpa disedari dan menyuntikkan elemen sekularisme serta dilakukan atas nama Islam sama ada melalui platform intelektual, akademik, ilmiah dan lain-lain.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam ke 74 telah memutuskan aliran pemikiran liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Gerakan Islam liberal dilihat sedang berkembang dan sedang meracuni pemikiran umat Islam di negara ini terutamanya bagi golongan muda yang tidak mempunyai  pendidikan agama yang baik.  Situasi ini seharusnya memberikan pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat Islam di negara ini supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani unsur yang merosakkan akidah ini sejak peringkat awal lagi supaya ia tidak berkembang sehingga menjadi ancaman yang sukar untuk dikawal.

Sumber: Berita Harian, 10 March 2018.