Mutakhir ini, begitu ramai di kalangan daripada kita sudah mula untuk kembali ke jalan yang sebenar, iaitu jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Ada di kalangan mereka juga sudah mula berkongsi video-video berkenaan ceramah, hadis dan motivasi di laman media sosial dan tak kurang juga ada yang memuatnaik video mereka sendiri untuk berpesan-pesan atau dalam erti kata lain berdakwah. Ia suatu perbuatan yang bagus dan disukai oleh Allah SWT dan RasulNya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” (HR Bukhari).
Namun, hendaklah kita berhati-hati dalam menyampaikan dakwah. Jangan sampai menimbulkan fitnah kepada agama semasa menggunakan lidah kita untuk berbicara. Penggunaan tamsilan atau contoh tidak tepat berhubung sesuatu perkara berkaitan agama dalam kalangan pendakwah atau penceramah boleh mengundang natijah tidak baik, sekali gus mencetuskan kekeliruan terutama kepada orang awam. Apabila kita hendak memulakan dakwah, mulakanlah pendekatan dakwah kepada masyarakat dengan cara berlembut. Kita perlu melihat kembali pendekatan Rasulullah SAW, Baginda mendekati khalayaknya dengan cara lembut tetapi dengan ketegasan.
Sehubungan itu, sesuatu contoh atau tamsilan bersifat ‘tinggi’ tidak wajar dibawa kepada perbincangan awam. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Bercakap dengan manusia (perlu) mengikut laras dan kemampuan akalnya.” (HR Muslim).
Apabila berikan penjelasan, pastikan ia jelas, mudah dan tidak bersifat ‘double meaning’, maksudnya boleh memberikan pelbagai pengertian. Selain itu, mesti pastikan apa disampaikan dapat difahami semua orang, bukan kita bercakap satu perkara dan biarkan netizen faham sendiri.
Dalam konteks ini, jika kita hendak menjalankan dakwah maka kita perlu mengenali siapa yang ingin didakwah barulah dapat memilih pendekatan sebaiknya. Apabila kita sudah dapat mengenalpasti sasarannya barulah kita berjaya menyampaikan mesej dakwah dan buah fikirannya kepada sekalian manusia sekalipun berbeza daripada segi pemikirannya, sahsiah peribadinya dan darjat serta dapat menarik seterusnya mengubah pemikiran mereka.
Oleh itu, berdakwahlah secara berhikmah dan bukannya secara emosi. Jangan kerana niat baik itu terus menyimpang menjadi dosa fitnah kepada agama Islam. Hikmah dalam berdakwah merupakan aset terpenting dalam menjamin kelangsungan serta kejayaan dakwah Islam kepada umat manusia sejagat. Manusia hari ini bukan setakat mendengar apa diperkatakan tetapi melihat bagaimanakah tingkah laku pendakwah di rumahnya dan dalam lingkungan masyarakat. Maka, berdakwahlah secara berhikmah.
Sumber: Berita Harian (8 April 2019)