Home Ateis KEANGKUHAN GOLONGAN ATEIS!!! TETAP TIDAK MENGAKUI KEWUJUDAN ALLAH SWT WALAU DISUA DENGAN...

KEANGKUHAN GOLONGAN ATEIS!!! TETAP TIDAK MENGAKUI KEWUJUDAN ALLAH SWT WALAU DISUA DENGAN PELBAGAI BUKTI KUKUH YANG TELAH DICATATKAN DALAM AL-QURAN DAN HADIS

529
0

Al-‘Allamah Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, seorang ulama Sunni dalam karyanya Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyat menyatakan bahawa untuk mencapai keyakinan tentang kebenaran wujudnya Tuhan iaitu Allah SWT, boleh diperoleh melalui dua jalan iaitu:

  1. Memerhati dengan pancaindera terhadap perkara yang diciptakanNya seperti alam semesta yang tidak dijadikan dengan sia-sia;
  2. Mengkaji kewujudan Allah SWT berdasarkan perkhabaran yang disampaikan kepada manusia melalui al-Quran dan hadis mutawatir serta hadis sahih.
    Menurut beliau, alam semesta yang dapat disaksikan sekarang adalah daripada perkara ‘mumkin’ yang mana akal dapat menerima bahawa tidak mustahil alam semesta ini boleh ditiadakan. Barangkali wujud sesuatu sebab tertentu yang boleh menyebabkan ketiadaannya, sebagaimana wujud sesuatu sebab tertentu yang telah mengadakannya.

Dalam hal ini, akal akan menyatakan sudah semestinya wujud kekuatan luar yang memberikan kesan kepada alam semesta. Kejadian dan aturan alam semesta yang mengagumkan sudah tentu terdapat pencipta dan pengaturnya. Mustahil ia berlaku dengan sendiri. Pencipta itulah yang mengarahkan alam semesta ‘berjalan’ menuju matlamat yang ditentukan dan hakikatnya alam semesta itu bukanlah bersifat kekal.

Maka sudah tentu wujudnya suatu kekuasaan yang memberi kesan untuk menciptakan ala mini iaitu Allah SWT selaku Tuhan Maha Pencipta. Semua bukti itu mampu mengelukan lidah golongan ateis walaupun mereka sengaja berdolak-dalik dan menutup akal dengan pelbagai alasan. Golongan ateis selalunya akan mengulang-ulang hujah kemungkinan dan kebetulan sahaja seperti mengaitkan setiap kejadian dengan teori Big Bang.

Namun sayangnya, semua keyakinan itu jelas terpesong dan bercanggah dengan dalil al-Quran atau hadis. Ia turut ditolak oleh kaedah ilmiah dan rasional akal manusia yang sihat. Percayalah bahawa hujah kemungkinan dan kebetulan itu akan runtuh dengan sendiri kerana tidak teratur dan tidak tersusun terhadap sesuatu walaupun dibiarkan jutaan tahun.

Dengan kata lain, golongan ateis tetap mengandaikan bahawa segala apa yang tersusun di muka bumi ini adalah bukan aturan daripada Allah SWT yang menciptakan segalanya walaupun disua dengan apa jua bukti yang kukuh berdasarkan al-Quran dan hadis. Maka benarlah kata al-‘Allamah al-Buti bahawa ateisme tidak lebih daripada suatu pemikiran dan tindakan memusuhi akal yang sihat dalam mencari kebenaran. Mereka sebenarnya hanya mengikut hawa nafsu semata-mata dan demi kepentingan sendiri.

Sumber: Buku Risalah Ateisme Satu Penelitian Awal- JAKIM