Sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik orang di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kalian.” ( HR At – Tirmidzi).
Bukan mudah menjadi seorang yang baik, tetapi tidak susah untuk menjadi seorang yang jahat. Itulah cabaran yang terpaksa kita lalui pada hari ini sebagai umat Islam. Namun, sebagai hamba Allah SWT yang taat akan suruhanNya, sudah tentu kita ingin menjadi seseorang yang berakhlak mulia. Insan yang berakhlak mulia akan sentiasa menjaga adab, tingkah laku serta tutur katanya supaya tidak menyakiti orang lain, malah sentiasa berusaha memberi manfaat kepada orang yang berada di sekelilingnya. Rasulullah SAW bersabda:
“Amal yang menjadikan timbangan seorang Mukmin berat pada hari kiamat adalah akhlak mulia. Sesungguhnya Allah SWT benci orang yang melampaui batas dan tidak bersopan santun.” (HR At – Tirmidzi).
Sememangnya menjadi kewajipan bagi kita sebagai Muslim untuk berakhlak mulia. Kita seharusnya bergaul dengan masyarakat penuh lemah lembut dan bertolak ansur, pintar dan berintegriti. Akhlak yang baik adalah sesuatu yang tidak dapat disembunyikan kelebihannya dalam Islam. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu Muslim menzahirkannya dan perbuatan seperti ini sesuatu yang dipuji Allah SWT sebagaimana pujianNya terhadap Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang terpuji.” (QS al – Qalaam: 4).
Oleh itu, marilah kita berusaha menjadi orang yang paling berakhlak dalam usaha untuk menyempurnakan iman kita sebagai seorang Muslim sejati. Umat Islam wajib mempunyai budi pekerti yang mulia sebagaimana yang dicontohkan Nabi Muhammad SAW. Ingatlah bahawa setiap umat Islam adalah duta kepada agama Islam. Jangan sesekali merosakkan reputasi agama dengan kelakuan kita.
Sumber: Harian Metro (4 Mac 2021)