Ateisme di Malaysia semakin rancak berkembang dan kewujudannya semakin disedari oleh masyarakat tatkala mereka bebas mengganggu ketenteraman awam. Hal ini mengakibatkan berlakunya kerosakan prinsip kehidupan beragama sekaligus merosakkan kepercayaan umat Islam kepada Tuhan. Serangan yang dibawa oleh golongan ateis ini pula adalah serangan berbentuk pemikiran yang mempunyai ciri-ciri hampir sama dengan ‘brain wash’ atau dengan istilah ‘thought control’ atau ‘ideological reform’.
Contohnya di laman sosial tiktok ‘cinta.dunia87’, pemilik akaun ini telah menjadikan akaunnya sebagai platform yang melontarkan persoalan-persoalan berkenaan Tuhan dan agama serta cuba membuat provokasi terhadap hal-hal akidah dengan tujuan memberi keraguan dan kekeliruan khususnya kepada umat Islam. Umpama hantarannya ada menyebut:
“Jika kau percaya Tuhan sentiasa memerhati dan melihat kau 24 jam tanpa tidur termasuk malaikat-malaikatnya, nescaya kau tidak akan berkahwin. Pasti kau akan segan untuk berasmara dengan pasangan kau kerana Tuhan melihat perbuatan itu”; dan
“Andai iblis sudah tahu betapa pedihnya neraka dan betapa indahnya syurga, jadi kenapa dia memilih untuk ke neraka dengan angkuhnya tanpa sedikit rasa kesal? Kecuali semua itu tidak wujud”.
Yusuf al-Qardhawi ada menyatakan bahawa serangan pemikiran sebegini lebih menyasarkan kepada anak-anak muda Islam kerana mereka mudah menerimanya, terutamanya apabila mereka yang lahir dan hidup di dunia Islam, namun pemikiran mereka tidak berasaskan Islam. Maka tidak hairanlah kini lahir ramainya pemuda-pemuda Islam yang hanya ‘Islam melalui kad pengenalan’ tetapi tidak pada pegangan akidahnya.
Justeru itu, waspadalah dengan serangan pemikiran khususnya ateisme. Hakikatnya, masyarakat Malaysia sudah lama melalui norma hidup yang harmoni hasil wujudnya etika dan nilai baik yang terdapat dalam agama-agama yang ada. Nyatanya, kehidupan beragama dijadikan salah satu prinsip dalam pentadbiran negara jangka panjang, maka pemikiran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan adalah tidak dibenarkan serta nyata bercanggah dengan syariat Islam.
Sumber: Jurnal al-Hikmah – Jilid 15(1) – Universiti Kebangsaan Malaysia