Bulan Ramadhan akan menjengah kita dalam masa 4 hari lagi, apakah kita sudah bersedia? Bersedia itu bukanlah dari segi persiapan untuk menyambutnya, tetapi lebih kepada penghijrahan diri kita kepada yang lama kepada yang baru, daripada yang kurang baik menjadi lebih baik. Jika dahulu kita bersifat dingin, angkuh, bangga diri, terlalu kejar dunia, hasad dengki dan membuat segala macam sifat mazmumah yang lain, apa kata kali ini kita ubah diri kita dan berazam untuk mendekati sifat mahmudah. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (QS Ar-Ra’d:11)
Ramai orang mahu berubah ke arah kebaikan kerana sudah terlalu lama buat dosa dan maksiat, sehingga hati rasa kosong dan sunyi. Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk kita merubah diri kita kea rah kebaikan dengan lebih mendalami sifat mahmudah. Ya, memang bukan mudah untuk mengamalkannya, tetapi setidaknya kita harus belajar sedikit demi sedikit. Ibarat kata pepatah berbahasa Inggeris “practice makes perfect”. Kita dilahirkan bukanlah terus boleh membaca, mengenal al-Quran dan As- Sunnah, tetapi atas didikan ibu bapa serta guru, kita menimba sedikit demi sedikit ilmu dunia dan akhirat.
Apabila hati kita sudah tekad untuk merubah kepada seseorang atau individu yang lebih baik, maka segerakan dan jangan bertangguh. Percaya pada keupayaan diri sendiri yang kita boleh lakukannya. Di samping itu, kita mestilah memaafkan diri sendiri atas kesalahan yang lalu dan memaafkan orang lain di atas dosa mereka terhadap kita. Kita ini bukanlah insan yang sempurna, jadi dengan saling memaafkan hati akan menjadi lebih tenang.
Jika sudah mempunyai tekad di dalam hati untuk berubah menjadi seorang yang baik, maka perbaikilah niat kita kerana Allah SWT. Tujuannya harus kerana di dalam segala hal yang dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah, In Shaa Allah hasilnya akan menjadi lebih baik. Jika kita berubah kerana manusia, pasti hasilnya akan menjadi sementara. Rasulullah SAW bersabda:
“Ingatlah bahawa di dalam jasad terdapat segumpal daging. Jika baik, maka baiklah seluruh jasad. Jika rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, bahawa (segumpal daging) itu adalah hati.” (HR Bukhari dan Muslim).
Bersempena dengan kedatangan bulan yang mulia tidak lama lagi, marilah kita tekadkan dalam hati dan perbaiki niat kita untuk berubah kepada individu yang lebih baik dengan lebih mendekati sifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah. Berdoalah kita agar diberikan sifat istiqomah oleh Allah SWT di dalam hati ini untuk menjadi Muslim yang sempurna pada iman dan akhlaknya.
Sumber: Laman Web The Rohani (https://therohani.com)