Home Kemanusiaan/Motivasi JADILAH INSAN YANG HEBAT DENGAN MEMAAFKAN ORANG LAIN YANG MENYAKITI KITA KERANA...

JADILAH INSAN YANG HEBAT DENGAN MEMAAFKAN ORANG LAIN YANG MENYAKITI KITA KERANA ALLAH AKAN NENINGGIKAN DARJAT KITA DI HARI AKHIRAT

1844
0

Memberi maaf termasuk di dalam kebaikan hati yang dapat menghindarkan diri dari permusuhan dan dendam yang tidak pernah padam. Menurut Ibn Al-Qayyim, hakikat memberi maaf adalah menggugurkan hak untuk membalas dendam atau melawan karena kemurahan hati yang bersangkutan, meskipun ia dapat melampiaskan dendam dan permusuhannya.

Firman Allah SWT:

“Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil.” (QS al-A’raf: 199)

Namun, ada sesetengah dakwaan yang menyatakan memaafkan itu mudah, tetapi tidak sesekali untuk melupakan. Ya benar, Itu memang fitrah manusia. Ingatlah bahawa melupakan itu bukan kerja kita. Itu adalah kerja Allah SWT. Allah SWT tidak menyuruh kita melupakan, tetapi memaafkan. Sifat pemaaf ini adalah sifat yang mulia, tidak akan menyebabkan seseorang itu hilang maruah, jadi hina atau jatuh harga diri seandainya kita memaafkan orang lain. Apabila kita memaafkan orang, Allah akan mengampunkan dosa kita. Malah, kita akan dekat dengan keampunanNya. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang memaafkan kesalahan orang lain, maka Allah akan memaafkan kesalahannya di hari akhirat (HR Ibnu Majah).

Memaafkan adalah puncak kemuliaan hati orang yang disakiti atau dizalimi. Dalam sejarah Islam, pemberian maaf (pengampunan) tidak hanya menarik simpati musuh-musuh Islam untuk memeluk Islam, tetapi juga menunjukkan betapa keseluruhan Islam itu dibangunkan diatas asas kemanusiaan yang kukuh iaitu persaudaraan, persatuan, perdamaian, dan toleransi.

Allah SWT juga telah berjanji kepada hambaNya bahawa sesiapa jua yang memaafkan kesalahan orang lain keatasnya, maka Allah akan mengangkat darjatnya lebih mulia. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Allah tidak menambah seorang hamba kerana mahu memberi maaf melainkan kemuliaan; dan tidaklah seseorang yang bersikap rendah hati di hadapan Allah melainkan akan diangkat oleh Allah darjatnya.” (HR Abu Daud)

Mulai hari ini, belajarlah untuk memaafkan kesalahan orang lain kepada kita kerana perbuatan itu jauh lebih mulia daripada menunggu orang lain meminta maaf kepada kita. Hidup ini akan lebih indah jika ungkapan “tiada maaf bagimu” diubah menjadi “aku sudah maafkan semuanya”.

Sumber: Sinar Harian “Allah akan meninggikan darjat mereka yang memaafkan orang lain” (24 Januari 2020)