Home Kemanusiaan/Motivasi USAH SUBURKAN BUDAYA FITNAH YANG AKAN MENGUNDANG PERPECAHAN SESAMA UMAT ISLAM

USAH SUBURKAN BUDAYA FITNAH YANG AKAN MENGUNDANG PERPECAHAN SESAMA UMAT ISLAM

565
0

Fitnah merupakan amalan keji lagi dibenci oleh semua manusia. Islam agama yang memandang berat terhadap budaya menabur fitnah dalam kalangan umatnya sehingga perbuatan fitnah dikira satu jenayah dalam undang-undang Islam serta diperuntukkan hukuman syariah ke atas pelaku fitnah ini. Larangan ini jelas termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai satu bentuk ancaman daripada Allah SWT dan rasul-Nya tentang besarnya dosa menabur fitnah. Jika pembawa fitnah itu orang Islam, maka ketahuilah bahawa azab yang berat sedang menantinya sebaik sahaja jasad dan rohnya berpisah. Sementara akhirat pula dia akan dihumban dalam api neraka jika dia tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW mengecam keras kepada pengadu domba seperti hadis daripada Huzaifah RA bahawa baginda bersabda yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba” (HR Muslim).

Sementara itu Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hukum fitnah adalah haram dan termasuk antara dosa yang besar kerana perbuatan ini boleh menyebabkan musibah yang besar dalam masyarakat. Dengan kepesatan teknologi masa kini, begitu banyak fitnah-fitnah yang ditaburkan bagi memburukkan seseorang, apatah lagi sesebuah agama. Cuba kita lihat begitu banyak fitnah-fitnah terhadap agama Islam yang dimuatnaik oleh puak-puak pelampau dalam menggambarkan sesuatu yang tidak baik mengenai Islam. Apa yang menyedihkan, ada sebahagian umat Islam itu sendiri yang percaya tentang tohmahan-tohmahan tersebut. Bukankah Allah SWT telah menyatakan di dalam al – Quran supaya menyelidiki kebenaran sesuatu perkara yang disampaikan terlebih dahulu sebelum mempercayainya? Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum karena kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.” (QS al – Hujurat: 6).

Jauhilah amalan dan budaya menabur fitnah, mengadu domba dan apa jua usaha yang boleh mewujudkan perpecahan masyarakat. Perbezaan pendapat dan ideologi antara kita bukanlah lesen untuk menghalalkan perbuatan memfitnah, bahkan Islam meletakkan syarat yang ketat apabila seorang Muslim ingin menuduh atau mendakwa seseorang yang lain seperti mengatakan si fulan itu penzina, pencuri, pemakan harta anak yatim, penyalah guna kuasa atau pelaku rasuah. Pendakwa tersebut wajib mendatangkan sumber yang jelas, saksi yang adil dan bukti yang kuat sebagai memenuhi syarat dia menuduh seseorang dengan sesuatu. Rasulullah SAW sudah mengingatkan kita dengan laknat Allah SWT melalui sabdanya yang bermaksud:

“Fitnah itu sedang tidur. Allah melaknat orang yang mengejutkannya”. (HR al – Rafi’e).

Sumber: Harian Metro (14 Disember 2022)