Setiap individu pasti mempunyai hasrat untuk berubah menjadi lebih daripada yang sebelumnya dan niat ini wajar dimulakan dengan memperbaiki solat. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
Dengan pernyataan ayat di atas, ia jelas sekali menjelaskan bahawa jika seseorang berniat untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan, mulakanlah dengan menunaikan dan memperbaiki solat kerana ia tiang agama. Seorang muslim yang baik, adalah mereka yang mampu menjadi manfaat bagi sesama manusia. Namun, sebelum memberikan manfaat kepada manusia lainnya, ia juga harus mampu berdaya dan bebas untuk memperbaiki hidupnya. Ibadah solat mendatangkan ketenangan dan mendekatkan diri insan kepada Tuhan. Allah SWT berfirman dalam surah ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Tahukah kita, terdapat kajian saintifik membuktikan bahawa waktu paling merehatkan minda adalah ketika solat. Penyelidikan berkaitan kelebihan solat dari perspektif sains juga mendapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia. Oleh itu solat bukan sahaja memberikan kesejahteraan spiritual, tetapi juga mental dan fizikal. Solat merupakan detik paling hampir seseorang hamba kepada Tuhan. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).” (HR Muslim).
Ketahuilah, ibadah solat wajib ditunaikan oleh setiap Muslim sehingga dia dapat memperbaiki akhlak dan kehidupannya. Ibadah solat itu perkara utama yang dipertanggungjawabkan kepada manusia di akhirat kelak, ini seperti dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya, dan bukti serta penyelamat pada hari kiamat. Dan sesiapa yang tidak menjaga solatnya maka tiadalah baginya mendapat cahaya, bukti dan keselamatan pada Hari Kiamat, malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama dengan Firaun, Qarun, Haman, dan Ubai bin Khalaf.” (HR Imam Ahmad).
Oleh itu, berusahalah sedaya upaya untuk memelihara ibadah solat pada setiap masa. Justeru marilah kita semua berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa diberikan kekuatan untuk memelihara ibadah solat agar menjadi asbab kepada kebaikan terhadap diri sendiri dan mampu berubah menjadi Muslim yang lebih baik di masa akan datang, Aamiin.
Sumber: Berita Harian (13 Disember 2022).