Marah merupakan satu perasaan yang wujud secara semulajadi dalam diri setiap manusia. Ia juga satu ekspresi yang muncul kadangkala secara spontan tatkala kita disakiti, dizalimi atau menghadapi sebarang masalah. Manusia dikurniakan pelbagai nafsu termasuk marah tetapi tidak boleh dilayan atau dibiarkan berleluasa, sebaliknya ditundukkan dengan sifat sabar kerana kemarahan antara senjata yang boleh menggugat keimanan.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.” (HR Bukhari)
Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya berkali-kali mengenai kejinya nafsu marah yang tidak terkawal kerana ia antara pintu digunakan syaitan dan iblis dalam menguasai manusia. Saat manusia marah, syaitan memasuki salur darah individu menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang. Tindakan itu mendorong manusia bertindak di luar kotak fikiran yang waras hingga boleh mengancam nyawa orang sekelilingnya termasuk diri sendiri.
Oleh itu, sebagai umat Islam yang menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan hidup, maka wajarlah bagi kita untuk melawan kemarahan itu dengan beristighfar dan selawat. Ini bagi memohon kepada Allah SWT agar memelihara diri dan kewarasan akal kita dari terus dibelenggu dengan perasaan amarah yang melampau. Menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut. Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran, tatkala menyifatkan beberapa ciri orang yang bertaqwa:
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.” (QS Ali ‘Imran: 134)
Meskipun secara umumnya ia dianggap sebagai satu perasaan dan ekspresi yang negatif, namun dalam beberapa keadaan, rasa amarah itu dibenarkan oleh syarak. Contohnya, rasa marah apabila agama Islam dihina atau marah apabila berlakunya kezaliman dan penindasan ke atas golongan yang lemah. Namun rasa amarah itu tetap perlu dikawal dan disalurkan melalui jalan yang betul, dan tidak membiarkan rasa marah itu menguasai diri hingga membawa kepada tindakan-tindakan diluar batasan syarak.
Sumber: Berita Harian “Sifat marah beri laluan iblis kuasai manusia” (20 Ogos 2019) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan