Home Kemanusiaan/Motivasi WAHAI UMAT – ISLAM JAGA DAN PELIHARALAH AURATMU DEMI MERAIH KEBERKATAN HIDUP

WAHAI UMAT – ISLAM JAGA DAN PELIHARALAH AURATMU DEMI MERAIH KEBERKATAN HIDUP

886
0

Mutakhir ini, begitu ramai umat manusia khususnya yang beragama Islam mengenakan trend pakaian terkini mengikut peredaran zaman. Namun, apa yang menyedihkan adalah kebanyakan daripada mereka mengenakan pakaian yang tidak mematuhi standard yang ditetapkan oleh syariat Islam. Bukankah di dalam agama Islam sudah dinyatakan aurat mana yang wajib ditutup baik buat kaum lelaki mahupun wanita? Firman Allah SWT:

“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian tanda kekuasaan Allah SWT, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (QS al – A’raf: 26).

Malangnya, ada mempersendakan suruhan Allah SWT ini dengan memuat naik pelbagai rakaman kononnya untuk dijadikan hiburan semata-mata, sekali gus mendapatkan perhatian umum atau keseronokan sendiri. Tidak hairanlah sebahagian umat Islam mengetahui kewajipan menutup aurat tetapi tetap tidak mengendahkannya.

Sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam, dengan bermulanya baligh bagi lelaki dan perempuan, maka mereka berkewajipan menunaikan segala hak dan tanggungjawab, antaranya menutup aurat dan menjauhi pergaulan bebas. Aurat adalah kehormatan diri bagi seseorang yang wajib dijaga dan dipelihara sepanjang masa. Menjadi satu kewajipan bagi sorang umat Islam menutup auratnya dalam apa jua keadaan. Rasulullah SAW bersabda:

“Orang lelaki tidak boleh memandang kepada aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat kepada aurat orang perempuan. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut tanpa pakaian dan begitu juga dengan wanita, mereka dilarang berbuat demikian.” (HR Muslim).

Oleh itu, kita hendaklah memelihara aurat dengan sebaik-baiknya kerana ia perintah Allah SWT. Jika kita ingin menjadi insan bertakwa di sisi Maha Pencipta, maka kita perlu melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala laranganNya. Sebagai seorang Muslim, kita sewajarnya berpakaian secara beretika mengikut syarak. Etika berpakaian dalam Islam berasaskan kepada penutupan aurat secara lengkap dan betul. Selain itu, pakaian yang dipakai oleh individu muslim juga hendaklah tidak menyerupai atau menyamai kaum yang ingkar kepada perintah Allah SWT.

Salah satu cara menunjukkan tanda kita bersyukur kepada Allah SWT adalah dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala kemungkaran. Menutup aurat adalah satu kewajipan dalam Islam. Berpakaian menutup aurat sewajaranya dilakukan kerana Allah SWT. Menutup aurat juga hendaklah didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian. Allah SWT memerintahkan umat Islam menutup aurat untuk memelihara maruah dan kehormatan serta menghindarkan mereka daripada kejahatan dan dosa.

Sumber: Berita Harian (11 Januari 2023)