Peperangan timbul apabila timbulnya sifat manusia yang cenderung untuk menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan sesuatu konflik. Namun, dalam peperangan juga mempunyai adab-adab yang perlu dipatuhi sama ada secara batin (nilai kemanusiaan) yang lahir dalam diri atau secara zahir iaitu mengikut elemen-elemen yang ditetapkan oleh undang-undang antarabangsa. Oleh sebab itu, apabila hilangnya nilai-nilai kemanusiaan, ianya bermakna sesebuah masyarakat itu dianggap menuju ke arah kehancuran ketamadunan.
Inilah yang berlaku pada dunia hari ini. Semua mendabik dada mengatakan mereka adalah bangsa dan masyarakat yang bertamadun, namun adakah nilai diri atau tindakan yang dilakukan melambangkan sebagai seorang yang bertamadun. Walaupun dikatakan bertamadun, namun masih gagal menghentikan penindasan dan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin. Kononnya bertamadun dengan memperjuangkan hak haiwan, tetapi pada masa yang sama membenarkan satu bangsa dihina dengan cara paling teruk, ditindas, diseksa dan dibunuh lebih teruk daripada binatang.
Disebalik protes dan demonstrasi yang berlaku di seluruh dunia, ia nyata tidak memberi kesan kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk menghentikan kekejaman Israel. Semua pihak tidak boleh meletakkan harapan kepada Israel untuk menghentikan kekejaman itu, tetapi sekurang-kurangnya negara-negara yang bertamadun perlu berbuat sesuatu, kerana mereka boleh membawa perubahan. Lebih-lebih lagi negara Arab atau negara-negara Islam, seharusnya lebih memainkan peranan penting dalam usaha membantu Palestin dalam apa jua bentuk sekalipun, namun tindakan empat buah negara Islam yang bertindak menolak mentah usul-usul yang dibentangkan di OIC amat mengecewakan demi menjaga kepentingan diri.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – NOV 2023 dan Astro Awani – 11 NOV 2023