Home Kemanusiaan/Motivasi WASPADA VIRAL BERITA DAN MAKLUMAT DI MEDIA SOSIAL YANG MENGUNDANG FITNAH DAN...

WASPADA VIRAL BERITA DAN MAKLUMAT DI MEDIA SOSIAL YANG MENGUNDANG FITNAH DAN DOSA

1115
0

Media sosial merupakan medium paling berpengaruh dalam menyebarkan maklumat.  Penyebaran maklumat atau sinonimnya disebut viral bermaksud berkongsi apa jua maklumat yang berupa video, berita dan imej secara pantas melalui internet. Maklumat yang diviralkan boleh jadi perkara betul atau palsu; boleh jadi perkara benar mahupun salah.

Jika perkara yang baik diviralkan pastinya kita akan mendapat manfaat dan pahala berterusan sampai akhirat namun jika viral perkara yang tidak tepat tentang perkara yang sebenar berlaku dibimbangi mengundang fitnah dan dosa sehingga akhirat. Hasilnya bukan sahaja maklumat diviralkan itu mengundang dosa dan fitnah malah bagi yang gagal mengawal emosi ada sahaja reaksi caci-maki dan tambah-menambah cerita yang tidak pernah berlaku. Apakah kita tidak pernah terfikir hasil perbuatan mengviralkan perkara yang tidak benar dan dikongsi serta disebarkan pula oleh orang lain? 

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (QS al-Hujurat: 6)

Oleh itu, amatlah penting bagi kita semua agar sentiasa bertabayyun dalam menerima sesuatu berita yang diviralkan di laman sosial agar kita tidak termasuk dalam golongan yang turut sama membawa fitnah berangkai. Kita perlu menapis terlebih dahulu apa yang kita dengar dan lihat serta berfikir sebelum berkongsi dengan rakan-rakan lain di laman sosial. 

Dalam menangani hal ini, kita perlu sentiasa ingat agar sentiasa berwaspada sebelum berkongsi apa jua maklumat dengan rakan-rakan. Kita perlu tahu dan selidik sumber tersebut diyakini kebenaran dan kesahihannya terlebih dahulu. Di sinilah peranan kita untuk terlebih dahulu merujuk sumber yang dinyatakan atau tunggu kenyataan rasmi sebelum menyebarkan sesuatu perkara. 

Selain itu, ilmu agama yang dimiliki turut memainkan peranan penting yang boleh bertindak selaku sistem penapis minda dalam membentuk minda yang sihat dan sejahtera.  Dengan adanya ilmu agama kita bukan sekadar menjadi pengguna dan pengikut media sosial yang biasa-biasa sahaja bahkan mampu untuk berjihad.  Berjihadlah dengan penuh berhikmah dengan menyaring terlebih dahulu segala maklumat.

Ingat! Sentiasalah berwaspada dengan gejala viral dan jangan terjebak dengan rantaian perkongsian maklumat palsu yang tidak diketahui sumber kesahihannya. Apabila seseorang individu didapati bersalah, mereka akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.” (HR Muslim: 2590)

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan