Home Kemanusiaan/Motivasi UMAT ISLAM PERLU BERSATU DAN TIDAK BERPECAH BELAH DEMI KEKUATAN DAN KESEJAHTERAAN...

UMAT ISLAM PERLU BERSATU DAN TIDAK BERPECAH BELAH DEMI KEKUATAN DAN KESEJAHTERAAN UMMAH SEJAGAT

2646
0

Firman Allah SWT:

“Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah (ajaran dan panduan daripada Allah) dan janganlah kamu berpecah- belah.” (QS Ali Imran: 103)

Sesungguhnya manusia tidak mampu hidup bersendirian. Bahkan manusia memerlukan orang lain untuk meneruskan hidup dan mengharungi cabaran. Setiap individu membentuk keluarga, dan seterusnya setiap keluarga pula membentuk satu ummah. Pada hari ini, kita telah menyaksikan banyak perpecahan dalam kalangan umat Islam yang membawa kehancuran. Lihat sahaja pada hari ini apabila ada segelintir umat Islam sendiri tanpa segan silu cuba melakukan perpecahan terhadap sesama saudara agama mereka dan lebih menyokong golongan kafir harbi demi sebuah kemewahan.

Umat Islam adalah penduduk majoriti di dunia ini, adakah kita sanggup menyaksikan perang saudara seagama yang lebih banyak menyebabkan kemusnahan? Sebagai umat Islam yang menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup, kita seharusnya tahu dan mengerti maksud sebenar ayat dari surah Ali Imran diatas. Berpegang teguhlah dengan tali Allah atau dalam erti kata lain perkuatkan iman kita kerana musuh-musuh Islam sentiasa menunggu peluang untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam demi kepentingan diri.

Oleh itu, beringatlah! Ada segelintir manusia yang suka menjadi batu api, menabur fitnah dan suka menanam sifat kebencian. Segala maklumat yang disebarkan langsung tidak bersandarkan ilmu dan fakta, jauh sekali untuk melakukan tabaiyun. Merekalah yang akan mendapat laba keuntungan di atas perpecahan umat Islam. Seeloknya, jauhkanlah diri kita daripada golongan sebegini dan jika tidak boleh dielak maka uruslah perselisihan yang timbul dengan penuh hikmah. Walaupun ia berpunca daripada sebab yang sangat kecil dan remeh, tetapi jika dibiarkan ia bakal membarah.

Jadikanlah iktibar daripada sejarah kejatuhan Empayar Uthmaniah, kerana adanya sifat tamak haloba, dengki mendengki diantara satu sama lain, para pemimpinnya bertelagah dan beberapa siri pengkhianatan berlaku. Lalu, jatuhlah sebuah empayar yang paling digeruni pada abad tersebut. Umat Islam hendaklah mensyukuri nikmat persaudaraan Islam yang berdiri di atas akidah mengEsakan Allah, bersatu padu dan mesti menjaga kesatuan ummah dan mengeratkan persaudaraan sesama Islam demi kesejahteraan ummah dan sejagat.

Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 10:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

Sumber: Harian Metro “Tiada manfaat kita berpecah belah” (10 Mei 2018) dan Unit Khutbah, Jabatan Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)