Home Ateis GOLONGAN ATEIS BONGKAK DIRI MENOLAK FITRAH KEJADIAN MANUSIA MEMPUNYAI AGAMA DAN MEMPERCAYAI...

GOLONGAN ATEIS BONGKAK DIRI MENOLAK FITRAH KEJADIAN MANUSIA MEMPUNYAI AGAMA DAN MEMPERCAYAI KEWUJUDAN TUHAN

212
0

Naluri fitrah semulajadi setiap manusia yang berakal adalah mempercayai kewujudan Tuhan. Dalam sejarah manusia, Nabi Adam a.s diakui oleh setiap agama Samawi sebagai manusia pertama diciptakan oleh Allah SWT dan diturunkan ke Bumi dengan mempelopori tamadun terawal dunia. Menurut ajaran Islam, Nabi Adam a.s merupakan seorang rasul, sudah tentulah baginda mengimani kewujudan Tuhan, iaitu Allah SWT.

Daripada anak cucu Nabi Adam a.s maka bertebaranlah manusia di seluruh dunia sehingga hari ini yang berkembang dalam pelbagai bentuk. Namun, perjalanan sejarah yang panjang itu menyebabkan sebahagian manusia semakin hilang pegangan, termasuklah dalam persoalan agama dan ketidakpercayaan kepada kewujudan Tuhan. Maka Allah SWT telah mengutuskan Nabi Isa a.s (dikenali sebagai Jesus Christ oleh penganut Kristian) bertujuan untuk mengembalikan fitrah manusia beriman kepadaNya. Namun, ia telah dikhianati dan difitnah oleh kaum Bani Israil atau Yahudi sehingga Nabi Isa dijatuhkan hukuman bunuh (disalib) oleh pemerintah Rom.

Begitu juga perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir yang membawa ajaran agama Islam kepada seluruh makhluk, adalah bagi meneruskan misi mentauhidkan Allah SWT. Ini bermaksud kepercayaan kepada kewujudan Tuhan adalah perkara yang diterima secara fitrah semulajadi dan menjadi perkara yang ‘daruri’ memandangkan hampir seluruh manusia di dunia adalah beragama.

Fenomena ini disimpulkan oleh ahli sejarah bahawa tidak pernah terdapat sebuah bandar pun tanpa adanya rumah ibadat. Dalam erti kata lain, semua agama menyeru kepada Tuhan, walaupun setiap agama itu berbeza tentang konsep ketuhanan masing-masing. Maka golongan ateis yang melakukan penolakan dan dan penentangan terhadap kewujudan Tuhan menunjukkan bahawa mereka sebenarnya percaya kepada Tuhan, malah sengaja mencari-cari alasan untuk hidup bebas dan tidak terikat dengan kepercayaan agama.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)