Asas ideologi liberalisme adalah cubaan untuk memisahkan agama daripada urusan keduniaan yang lain. Sedangkan dalam Islam mengajar umatnya bahawa semua perkara sama ada melalui perkataan, perbuatan, pekerjaan dan segala urusan mestilah berlandaskan agama kerana agama menjadi panduan pada setiap individu bagi membatasi diri dari melakukan perkara yang ‘lagha’. Salah satu contoh ideologi liberalisme yang cuba diadaptasi tanpa sedar dalam kehidupan kini adalah cuba memisahkan agama dengan politik.
Apabila golongan liberal semakin berani menaja dakyah agama dan ideologi ekstrem termasuklah acara tidak bermoral dan songsang seperti LGBT secara terbuka dan bebas, ini bermakna golongan tersebut sedang dilindungi oleh kepentingan politik. Aktiviti ceramah perlu mendapat permit, aktiviti sosial (konsert, persembahan LGBT, festival antarabangsa, dll.) ‘ditutup mata’, aktiviti politik di tempat-tempat baik dan soleh dikaitkan dengan sesebuah parti politik, sedangkan tanpa sedar ideologi liberalisme sudah meresap, tanpa sedar perbuatan ini adalah cubaan untuk memisahkan agama dengan politik.
Runtuhnya nilai politik yang bersih dan sejahtera berasaskan iman dan takwa menunjukkan betapa parahnya pemikiran pemimpin khususnya semakin mengikut ‘nafsu liberalisme’ demi kepentingan sehingga mengenepikan agama. Menggunakan kuasa jawatan dan kedudukan yang ada termasuk mempengaruhi pihak penguatkuasa bertindak bagi memenuhi motif politik dan kepentingan tertentu sepatutnya tidak berlaku jika agama menjadi panduan dalam pimpinan. Masyarakat bukannya tidak boleh menilai, tetapi tidak mempunyai kuasa, tatkala ditegur disalahkan semula. Seharusnya, apa jua yang dilakukan, kembalilah pada agama kerana dengan landasan agama menjadikan kita mendapat kebaikan bukan sahaja di dunia malah jua di akhirat. Renung-renungkan.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –APR 2023 dan Harakahdaily -23 MAC 2023