Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan sebuah video yang memaparkan sekumpulan masyarakat yang seakan – akan ‘berpesta’ gendang dengan tujuan untuk membangunkan masyarakat di sebuah kawasan perumahan untuk bangun sahur. Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak, ada yang positif dan tidak kurang juga ada yang negatif.
Walau apa pun tujuannya sama ada baik mahupun sebaliknya, kita perlu memandang dari satu sudut di mana hak jiran juga perlu dititikberatkan dalam perkara ini. Bukan sahaja hal ‘pesta’ gendang, tapi juga dari segi bunyi-bunyian seperti bermain mercun dan juga bunyi bising yang lain. Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kita perlu meraikan bulan Ramadan yang mulia ini, tetapi bukanlah dengan cara menyakiti perasaan jiran. Mungkin ada di antara mereka yang memerlukan ketenangan di sepanjang bulan Ramadan kerana mahu fokus dengan ibadah mereka.
Seharusnya di bulan yang mulia ini kita perlu mengeratkan lagi hubungan sesama jiran tetangga. Buatlah baik kepada jiran tetangga kita kerana perkara itu amat disukai oleh Allah SWT. Bukan sahaja berbuat baik, malah kita juga dituntut oleh agama untuk menyayangi mereka. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu sehingga ia mencintai jiran tetangganya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.” (HR Muslim).
Mengapa Islam sangat mementingkan hidup berjiran dan menjaga adab sesama jiran? Ini kerana Islam menganjurkan kehidupan bersosial dan bermasyarakat kerana kehidupan di dunia ini kita akan saling bergantung antara satu sama lain. Mustahil untuk kita hidup bersendirian tanpa keluarga dan juga teman-teman. Sesama manusia, kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan kepada mereka yang berhak. Oleh itu, sayangi dan eratkanlah hubungan sesama jiran di bulan Ramadan yang mulia ini.
Sumber: Utusan Malaysia (6 November 2022)