Home Kemanusiaan/Motivasi PENENTUAN 1 SYAWAL 1444 HIJRAH BIARLAH DILAKUKAN OLEH PAKAR FALAK JANGAN BUAT...

PENENTUAN 1 SYAWAL 1444 HIJRAH BIARLAH DILAKUKAN OLEH PAKAR FALAK JANGAN BUAT RAMALAN SENDIRI HANYA KERANA TREND ‘RAYA MENGEJUT’

351
0

Berlegar di ruangan media sosial dalam seminggu dua ini berkenaan dengan ramalan jangkaan umat Islam menyambut perayaan Aidilfitri awal seperti yang digembar – gemburkan akan jatuh pada hari Jumaat, 21 April 2023 berbanding pada tarikh yang ditetapkan di dalam kalendar iaitu pada hari Sabtu, 22 April 2023. Ini semua kerana satu tangkap layar daripada skrin di Masjid Wilayah Persekutuan, yang memaparkan tarikh akhir Ramadan adalah pada 20 April. Maka, ramai dalam kalangan kita mula berteka-teki susulan hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang kononnya jatuh pada 21 April iaitu pada hari Jumaat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh jawatankuasa melihat anak bulan/rukyah negeri yang dipengerusikan oleh sahibus samahah mufti negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM.

Dalam hal ini, sudah jelas kita sebagai umat Islam tidak boleh untuk menentukan ketetapan Hari Raya Aidilfitri berdasarkan ‘trending’ yang ditularkan di media sosial. Bukan tugas kita untuk menentukan ketetapan Hari Raya Aidilfitri sebaliknya ia perlu dilakukan oleh pihak yang pakar berdasarkan cerapan anak bulan. Perbuatan kita dalam mengandaikan bila Hari Raya akan berlaku ini tidak keterlaluan seperti sedang meramal. Bukankah membuat ramalan dilarang oleh Islam? Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad” (HR Ahmad).

Walaupun hadis di atas menyatakan tentang kepercayaan kepada peramal ataupun penilik nasib, namun dalam hal ini ia boleh digambarkan hampir sama. Apabila kita mempercayai apa yang ditularkan oleh sesetengah pihak, seolah-olah kita mempercayai ramalan. Ingatlah, apa yang terjadi di alam semesta ini adalah ketentuan Allah SWT. FirmanNya:

“Katakanlah: “Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah.” (QS Al – Naml: 65).

Dalam hal ini, semua pihak perlu menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini yang telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berautoriti. Tidak perlulah disebarkan sesuatu yang belum pasti. Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan oleh JAKIM atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan oleh Panel pakar falak.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan