Masyarakat Islam terus diasak dengan serangan pemikiran liberal berpaksikan keterbukaan dalam berijtihad yang meletakkan akal pada tempat paling tinggi serta menidakkan al-Quran dan as-Sunnah.
Golongan liberal meletakkan sepenuhnya kepercayaan terhadap tradisi keilmuwan Barat. Bagi mereka hukum Islam perlu disesuaikan dengan sistem di Barat, kemudian barulah diiktiraf sebagai berfikiran moden, maju dan tidak kolot. Sebagai contoh, kini dapat dilihat umat Islam terutamanya di Malaysia yang sudah tentunya mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie tetapi terdapat orang Islam berfikiran liberal yang dengan sewenangnya memelihara anjing sebagai binatang peliharaan. Perbuatan ini bertujuan untuk memberi gambaran bahawa umat Islam perlu berfikiran bebas dan jangan terikut-ikut dengan ketetapan ulama terdahulu yang dianggap berfikiran jumud dan ketinggalan zaman
Dari hari ke hari semakin ramai yang tampil bangga di laman sosial mempamerkan binatang pemeliharaanya adalah seekor anjing. Sedangkan sudah jelas dalam al-Quran bahawa anjing merupakan binatang yang haram dan hanya boleh disentuh dalam beberapa keadaan tertentu dan mengikut mazhab tertentu terutamanya mengikut fahaman Mazhab Syafie.
Berkenaan permasalahan hukum memelihara atau menyentuh anjing ini sememangnya terdapat perbahasan yang panjang dalam kategori fiqih. Sebagai contoh ulama Hanafi dan Maliki membenarkan pemeliharaanya, namun apabila terkena jilatan anjing perlulah disamak semula. Juga perlu diingat bahawa pemeliharaan anjing mereka kebanyakannya hanya untuk menjaga keselamatan rumah atau kebun, binatang buruan dan sebagainya dengan tujuan kemaslahatan. Anjing juga tidak diletakkan di dalam rumah kerana terdapat hadis yang melarang sehingga menyebabkan malaikat rahmat tidak masuk ke rumah yang ada anjing.
Berlainan pula dengan Mazhab Syafie yang menjadi pegangan rakyat Malaysia. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah memutuskan bahawa hukum memelihara anjing di rumah oleh orang Islam sebagai haiwan peliharaan (pet) adalah haram kecuali untuk tujuan khusus yang termasuk dalam keperluan dan kemaslahatan. Antaranya adalah tujuan:
i- Perburuan (anjing yang digunakan bukanlah anjing ‘comel’ dijadikan ‘teman’ untuk bermanja tetapi anjing yang garang atau tahan lasak dan sesuai untuk berburu;
ii- Anjing pemandu jalan (seperti untuk orang buta sekiranya amat memerlukan);
iii- Keselamatan (untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti Polis dan Kastam, mengawal keselamatan rumah)
iv- Membantu penternakan haiwan
Menurut Mazhab Syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan munasabah adalah haram di sisi Islam dan akan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan mazhab dan uruf di Malaysia.
Walaupun Islam meletakkan kaedah tertentu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah, namun kaedah tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk memegang najis mughallazah itu secara sengaja. Apatah lagi perbuatan umat Islam yang mengambil anjing sebagai binatang pemeliharaan (pet) akan disalah tafsir dan dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baru yang membawa kepada perbuatan menghina agama Islam.
Justeru itu, tinggallah perbuatan sedemikian dan kembalilah bertaubat. Terdapat banyak lagi haiwan lain di dalam dunia ini boleh dijadikan peliharaan. Jadi tiada alasan untuk memelihara anjing kononnya kerana ‘kecomelannya’. Secara halusnya dapat dilihat budaya liberal barat ini cuba diadaptasi sedikit demi sedikit sehingga menjadi normalisasi yang pada akhirnya akan mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam yang lain.
Sumber: e-fatwa penang bil.4/2017 dan Berita Harian, 29 FEB 2016