Home Kemanusiaan/Motivasi ISLAM ADALAH AGAMA YANG MUDAH DAN AJARAN ISLAM YANG BENAR ITU SESUAI...

ISLAM ADALAH AGAMA YANG MUDAH DAN AJARAN ISLAM YANG BENAR ITU SESUAI UNTUK DIAMALKAN OLEH SELURUH UMAT MANUSIA

1644
0

Benarkah Islam itu agama yang mudah? Bagi menjawab persoalan tersebut, terlebih dahulu kita perlu menyemak asal pernyataan itu. Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sesungguhnya agama itu mudah. Dan selamanya agama tidak akan memberatkan seseorang melainkan memudahkannya. Kerana itu, luruskanlah, dekatilah, dan berilah khabar gembira! Minta tolonglah kalian di waktu awal pagi, siang hari, di kala waktu istirahat dan di awal malam,” (HR Bukhari dan Muslim: 39 dan 2816)

Dalam kehidupan umum, perkara “Mudah” dan “Payah” itu adalah sangat relatif. Oleh kerana itu pengukur yang paling tepat digunakan ialah sama ada perkara itu merupakan satu bebanan yang tidak mampu dijalankan oleh insan atau termasuk dalam lingkungan keupayaannya menurut keadaan biasa. Dalam Islam, semua tugas, tanggungjawab dan bebanan adalah dibuat dan dilaksanakan mengikut keupayaan kerana Allah S.W.T tidak membebankan ke atas seseorang hamba-Nya lebih daripada kemampuannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Terdapat banyak cara yang dipermudahkan oleh Allah SWT dalam mengamalkan ajaran Islam. Sebagai contoh solat lima waktu yang sememangnya wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam. Akan tetapi, bagaimana sekiranya kita sedang bermusafir? Bagaimana pula seseorang itu dalam keadaan sakit? Adakah individu tersebut terlepas dari menunaikannya memandangkan adanya kenyataan Islam itu memudahkan? Itu tidak tepat, apabila Allah menetapkan sesuatu perlakuan itu wajib dilaksanakan maka ia perlu dilakukan tanpa meninggalkannya. Yang dimaksudkan mudah itu adalah dari segi pelaksanaannya seperti seseorang apabila bermusafir, Islam telah menetapkan adanya rukhsah solat bagi musafir iaitu solat yang dijamakkan.

Manakala bagi seseorang yang sedang sakit, ada pelaksanaan dari segi rukhsah solat bagi pesakit. Begitu juga dengan puasa. Wajib dilaksanakan oleh umat Islam, cuma apabila adanya halangan seperti sakit atau uzur dan bermusafir melebihi 92 marhallah yang boleh membawa kepada kemudaratan, maka ia boleh ditinggalkan. Tetapi, wajiblah ia diganti dengan puasa atau bayaran fidyah.

Islam sememangnya agama yang mudah dan indah. Jika terdapat bayangan susah dan berat dalam hukum dan ajaran Islam, itu bukanlah kerana Islam itu yang berat. Tetapi gambaran itu disebabkan sama ada salah faham tentang hukum Islam dan pelaksanaan ataupun yang enggan tunduk kepada ketentuan Islam. Walau bagaimanapun kedua-duanya boleh diatasi dengan menuntut ilmu daripada sumber-sumber yang sahih ataupun ilmuan-ilmuan yang diiktiraf Jabatan Agama Islam negara ini.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)