Keganasan adalah satu tindakan yang menjadikan perlakuan kehidupan dalam situasi yang radikal dan ganas seperti pembunuhan bertujuan menyahut seruan menentang sesuatu dasar yang dilihat bertentangan dengan ajaran atau kepercayaan sesuatu golongan. Secara teknikalnya, siri keganasan ini kerap timbul berpunca daripada fahaman yang mengaku mengamalkan ajaran Islam sebenar atas nama jihad sebagai cara untuk menyucikan segala kekotoran dan salah satu jalan mudah untuk ke syurga.
Ramai yang menganggap bahawa Islam agama yang menggalakkan keganasan berikutan beberapa siri keganasan yang dilakukan kumpulan-kumpulan pemberontak atau kumpulan militan yang menggunakan nama Islam untuk mempromosi agenda mereka. Akan tetapi, ia lahir akibat sentimen kebencian yang disebarkan secara melampau.
Hakikatnya, fahaman ini sangat jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar yang mendidik kita supaya sentiasa cintakan keamanan dan tidak menyakiti mereka yang tidak bersalah semata-mata untuk berjihad melawan apa juga perkara yang diperkatakan sebagai kekotoran umat dan sebagainya. Sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (QS an-Nisa: 93)
Kadangkala kebencian ini terbentuk kerana persepsi negatif dan salah faham terhadap kelompok, bangsa dan agama tertentu. Sebagai contoh, sentimen Islamofobia dan xenofobia yang menebal khususnya di Barat, menyebabkan Islam dan penganutnya dilihat sebagai ancaman kerana budaya dan ajaran Islam dianggap tidak sesuai dengan cara hidup masyarakat di Barat.
Walau bagaimanapun, kita amat bersyukur kerana Malaysia mempunyai mekanisme yang unik dan tersendiri dalam menangani keganasan ini. Salah satu resipi utamanya ialah sikap kesederhanaan (wasatiyyah) yang diamalkan sehingga melahirkan sikap saling menghormati, memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain.
Dalam hal ini, umat Islam perlu menampilkan sikap dan akhlak Islam sebenar sesuai dengan ajaran Islam yang dipelajari supaya menjadi cerminan kepada nilai dan wajah sebenar Islam seterusnya mengelakkan diri menjadi fitnah kepada Islam. Umat Islam juga tidak harus melihat bukan Islam secara umumnya sebagai musuh dan ancaman kerana ada dalam kalangan mereka yang menjadi warganegara yang baik dan patuh kepada undang-undang negara yang berhak mendapat perlindungan dan kasih sayang. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, itulah yang harus dipraktikkan oleh rakyat Malaysia agar aman dan sejahtera serta terhindar dari ancaman kumpulan-kumpulan radikal yang cuba untuk menghancurkan keharmonian negara ini.
Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Berita Harian “Sentimen benci melampau boleh cetus keganasan” (23 Mac 2019)