Bermaafan adalah sifat yang terpuji yang perlu diamalkan kerana ia membawa kepada sifat takwa. Mukmin yang sentiasa mengukuhkan persaudaraan dan menghubungkan silaturahim melalui bermaafan antara satu sama lain. Firman Allah SWT:
“Dan perbuatan kamu bermaafan (yakni halal menghalalkan) lebih dekat kepada takwa.” (QS al – Baqarah: 237).
Memang benar, ada sesetengah pihak amat sukar untuk meminta maaf dan memaafkan orang lain. Pada mereka, mereka sahaja yang betul walaupun ada salah dalam perbuatan mereka. Menurut Imam Ghazali, maaf itu ialah apabila anda mempunyai hak untuk membalas lalu anda gugurkan hak itu, yakni tidak membalas dalam sebuah hadis kudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Nabi SAW telah bertanya kepada Allah, Wahai Tuhanku amankah hambamu yang lebih mulia menurut pandanganmu. Allah berfirman: “Orang yang apabila berkuasa (mempunyai musuhnya) dapat segera memaafkan.”
Apa yang dapat difahami daripada hadis ini, hamba yang mulia di sisi Allah SAW ialah mereka yang berhati mulia, bersikap lembut dan bertolak ansur. Mereka tidak membalas dendam terhadap seseorang yang ditawannya melainkan ia memaafkan kerana Allah SWT semata-mata. Orang yang dapat menahan kemarahannya termasuk dalam golongan muttaqin, yakni yang bertakwa kepadaNya. Allah SWT akan memberi keampunan dan membalas mereka dengan syurga.
Sempena bulan yang mulia ini, kita seharusnya membuang segala ego yang ada di dalam diri kita dan saling bermaaf – maafan di antara satu sama lain. Tahukah kita bahawa meminta maaf dan memaafkan orang lain adalah tanda yang sangat disukai oleh Allah SWT? Ini kerana:
- Memaafkan kesalahan seseorang adalah tanda orang yang bertakwa.
- Wajib memberi maaf jika telah diminta dan lebih baik lagi memaafkan meskipun tidak diminta.
- Sifat tidak mahu memaafkan terhadap orang yang meminta maaf adalah sifat syaitan yang akan membawa kerosakkan dalam hidup bermasyarakat.
- Masyarakat akan aman dan damai jika ahli masyarakat ada sikap pemaaf dan memahami bahawa manusia tidak lepas daripada salah dan silap.
Oleh itu, janganlah kita mengabaikan sifat memaafkan ini. Ulama menyatakan, perkara paling memudahkan seseorang masuk ke dalam syurga selepas perkara tauhid adalah memiliki akhlak yang mulia. Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha penyayang.” (QS An – Nur: 22).
Sumber: Harian Metro (11 Jun 2019)