Home Ateis UMAT ISLAM JANGANLAH CEPAT ‘MELATAH’ MENGHADAPI PROVOKASI GOLONGAN ATEIS!!! CONTOHI PARA IMAM...

UMAT ISLAM JANGANLAH CEPAT ‘MELATAH’ MENGHADAPI PROVOKASI GOLONGAN ATEIS!!! CONTOHI PARA IMAM MAZHAB ISLAM MENGGUNAKAN PENDEKATAN LEMBUT MEMATAHKAN HUJAH MEREKA MENGGUNAKAN LOGIK AKAL

254
0

Kejahilan golongan yang menentang Islam semakin terserlah tatkala sering mencari persoalan-persoalan seperti berkenaan kewujudan Tuhan kononnya ingin mengganggu gugat atau memanipulasikan pemikiran dan akidah teguh umat Islam. Para Imam Mazhab Islam juga seperti Imam Syafie, Imam Abu Hanifah , Imam Malik dan Imam Hanbali tidak ketinggalan melalui situasi berhadapan dengan golongan ateis ini. Disebalik provokasi dilakukan, para Imam sentiasa tenang menjawab segala persoalan yang dilontarkan.

Sebagai contoh Imam Syafie apabila ditanya mengenai bukti kewujudan Tuhan. Beliau menjawab: “Lihatlah daun tut ini (mulberry leave), apabila dimakan oleh ulat ia mengeluarkan sutera. Apabila dimakan oleh lebah, ia mengeluarkan madu. Apabila dimakan oleh binatang ternakan, ia mengeluarkan najis. Apabila dimakan oleh rusa, ia mengeluarkan kasturi. Bagaimana semua ini boleh berlaku sedangkan daun yang dimakan adalah sama jenisnya?”

Pendekatan yang digunakan oleh Imam Malik pula yang pernah ditanya oleh Khalifah Harun ar-Rasyid mengenai bukti kewujudan Tuhan. Beliau menjelaskan, “Buktinya, setiap manusia dikurniakan mulut dan lidah yang lebih kurang sama, tetapi Bahasa, suara dan intonasi setiap seorang daripada mereka berbeza”.

Imam Abu Hanifah pula tatkala ditanya oleh sekumpulan manusia mengenai bukti kewujudan Tuhan menjawab: “Aku sedang berfikir mengenai sebuah kapal di laut yang sarat dengan muatan dan barang dagangan tetapi yang peliknya kapal ini tidak ada nakhoda dan anak-anak kapalnya. Ia berlayar ke sana ke mari dan menyelesaikan masalah dengan sendirinya”. Sekumpulan manusia itu menjawab, “Ini adalah suatu kisah gila yang tidak masuk akal”. Imam Abu Hanifah menjawab, “Bagaimana pula dengan golongan yang mengatakan alam ini yang begitu halus dan tersusun kejadiannya terjadi dengan sendirinya tanpa pencipta dan pengurus?” Golongan yang menemui Imam Abu Hanifah itu tergamam dan akhirnya memeluk Islam.

Begitulah kisah ketenangan para Imam mematahkan hujah golongan ateis yang seharusnya diambil pengajaran. Sebagai umat Islam, janganlah cepat ‘melatah’ dengan provokasi golongan ateis, sebaliknya jawablah dengan tenang segala persoalan yang dilontarkan dengan menggunakan hujah logik akal yang setara dengan tahap kefahamannya, asalkan tidak menyalahi syariat. Mudah-mudahan dengan pendekatan lembut ini membuka ruang di hati mereka untuk menerima hidayah daripada Allah.

Sumber: International Journal of Islamic Thought, Vol. 22 (2022)