Home Kemanusiaan/Motivasi DUIT RAYA: ANTARA KEIKHLASAN DAN HARAPAN BALASAN DALAM TIMBANGAN ISLAM

DUIT RAYA: ANTARA KEIKHLASAN DAN HARAPAN BALASAN DALAM TIMBANGAN ISLAM

41
0

Baru-baru ini, tular di media sosial luahan seorang individu yang melahirkan rasa terkilan apabila jumlah duit raya yang diterima oleh anaknya tidak setimpal dengan apa yang telah diberikannya kepada anak-anak orang lain. Beliau mendakwa telah membelanjakan sekitar RM2,000 dengan kadar RM20 seorang, lalu mengharapkan nilai yang sama sebagai balasan. Namun, luahan tersebut mengundang kecaman ramai kerana dilihat mencerminkan sikap mengharapkan ganjaran dunia dalam amalan memberi.

Dalam Islam, pemberian seperti duit raya termasuk dalam amalan sedekah dan hadiah yang sangat dituntut, khususnya dalam mengeratkan silaturahim di bulan Syawal. Namun, nilai sebenar pemberian itu tidak terletak pada jumlahnya, tetapi pada keikhlasan hati. llah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 264:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosakkan sedekah kamu dengan mengungkit-ungkitnya dan menyakiti (perasaan penerima)…”

Ayat ini jelas menegaskan bahawa amalan memberi boleh hilang nilainya jika disertai dengan harapan balasan atau rasa tidak puas hati. Rasulullah SAW juga bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.” (HR Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menjadi asas bahawa setiap pemberian haruslah dilakukan kerana Allah, bukan untuk mendapatkan balasan yang setimpal daripada manusia. Apabila seseorang memberi dengan mengharapkan pulangan yang sama, maka ia bukan lagi pemberian yang tulus, sebaliknya sudah menjadi satu bentuk ‘pertukaran’ yang terikat dengan nilai dunia.

Hakikatnya, tidak semua orang memiliki kemampuan kewangan yang sama. Ada yang mampu memberi lebih, dan ada yang memberi sekadar kemampuan. Islam meraikan perbezaan ini dan tidak pernah menetapkan jumlah tertentu dalam bersedekah. Apa yang lebih penting adalah sikap berlapang dada, menghargai pemberian orang lain, serta tidak membandingkan rezeki yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Peristiwa ini seharusnya menjadi muhasabah buat kita semua agar memperbetulkan niat dalam setiap amalan kebaikan. Berilah dengan ikhlas, tanpa mengharapkan balasan, dan terimalah dengan syukur apa jua yang diterima. Yakinlah Allah SWT akan membalasnya dengan cara-cara yang tidak kita duga. Sesungguhnya, keberkatan itu bukan pada banyaknya pemberian, tetapi pada keikhlasan hati. Dengan memahami hakikat ini, barulah tradisi duit raya benar-benar menjadi medan menyuburkan kasih sayang, bukan mencetuskan kekecewaan.

SUmber: Instagram wakafquran (https://www.instagram.com/p/C9MjYJ1Bhh9/)