Home Kemanusiaan/Motivasi KESUCIAN AGAMA WAJIB DIPERTAHANKAN – KALIMAH ALLAH HAK EKSKLUSIF UNTUK UMAT ISLAM

KESUCIAN AGAMA WAJIB DIPERTAHANKAN – KALIMAH ALLAH HAK EKSKLUSIF UNTUK UMAT ISLAM

296
0

Isu penggunaan kalimah Allah adalah isu asas yang paling besar dalam agama Islam. Dalam setiap agama, tonggak yang paling besar ialah kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan yang disembah. Dalam Islam, akidah tauhid iaitu mengesakan Allah SWT itu adalah sangat penting. Malahan sudah menjadi salah satu daripada amalan hidup Islam, Allah SWT itu sentiasa ada bersama-sama dengan orang beriman pada setiap masa dan sentiasa diucapkanNya. Malah, di dalam al – Quran telahpun menjelaskan terdapat perbezaan antara akidah Islam dengan ajaran anutan agama-agama lain. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.” (QS al-Kafirun: 8).

Maksud daripada surah di atas dengan jelas telah menerangkan bahawa Allah SWT yang disembah oleh umat Islam tidak sama dengan Jesus, Lord, Father God dan Holy Spirit yang dianuti oleh penganut Kristian. Begitulah juga Allah SWT tidak boleh disamakan dengan dewa, berhala dan sebagainya. Hal ini mempamerkan bahawa kalimah Allah sentiasa berada dalam diri orang yang beriman dan juga asas akidah tauhid.

Benar, orang bukan Islam juga mengakui tentang kewujudan Allah SWT yang mencipta manusia dan alam semesta. Bahkan hal ini juga ada diterangkan di dalam al – Quran, surah al-Zukhruf ayat 87-88 dan surah al-‘Ankabut ayat 63. Malah, hal ini juga disebut dalam sebuah hadis mengenai perjanjian damai Hudaibiyah antara Rasulullah SAW dengan golongan musyrikin Quraisy Makkah diwakili Suhail bin ‘Amr, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangkali aku boleh tulis bismillahirrahmanirrahim. Lalu Suhail berkata: Adapun bismillah (dengan nama Allah) kami tidak tahu apa itu bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu bismikallahumma (dengan nama-Mu ya Allah).” (HR Muslim).

Dalam hadis ini, jelas Rasulullah SAW menerima bantahan itu. Ternyata di sini mereka ada menggunakan nama Allah SWT. Meskipun nampak seperti tiada larangan daripada al-Quran dan hadis berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam, namun Allah SWT tetap melarang dakwaan Dia adalah satu daripada yang tiga (triniti), yakni kepercayaan tentang kewujudan tiga entiti membentuk satu Tuhan. Dalam triniti, ada disebut anak Tuhan (Nabi Isa AS). Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya kafirlah mereka yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada yang tiga (triniti). Padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan (Allah) Yang Maha Esa.” (QS al – Maidah: 73).

Justeru, kedudukan Allah SWT dalam akidah tauhid tidak boleh sama sekali disamakan dengan apa juga. Maka penggunaan kalimah Allah dalam Islam adalah selari dengan akidah tauhid, yakni merujuk kepada Allah Yang Esa dan sama sekali tidak secocok dengan konsep triniti. Sekiranya nama Allah digunakan dengan sesuka hati, ia akan menimbulkan kekeliruan berhubung Allah dalam konteks akidah Islam dan Allah dalam pemahaman ajaran agama lain. Jika ini terjadi, dibimbangi kedua-dua agama akan disamakan sedangkan pada hakikatnya kedua-duanya adalah berbeza.

Perlu ditegaskan penggunaan God adalah konotasi Tuhan secara umum, manakala Allah SWT adalah khusus sama ada dari segi makna dan segala sifat-Nya. Justeru, hakikat Allah SWT adalah bersifat Esa dan bukannya berbilang-bilang. Oleh itu, atas sebab-sebab maslahah ‘ammah (kemaslahatan umum) orang bukan Islam tetap dilarang menggunakan kalimah Allah. Hal ini kerana ia dibimbangi boleh mengelirukan akidah umat Islam dan menimbulkan ketegangan hubungan antara agama. Peliharalah kesucian agama Islam dan kalimah Allah SWT hanyalah eksklusif untuk umat Islam sahaja.

Sumber: Harian Metro (22 Mei 2023).