Home Kemanusiaan/Motivasi BULAN RAMADAN SEMAKIN KE PENGHUJUNGAYUH REBUT PELUANG SEGERA BERTAUBAT

BULAN RAMADAN SEMAKIN KE PENGHUJUNGAYUH REBUT PELUANG SEGERA BERTAUBAT

114
0

Ramadan kini hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Apakah kita sudah pasti merebut peluang ini untuk bertaubat sepenuhnya kepada Allah SWT? Umat Islam berada dalam satu bulan yang Allah SWT buka pintu taubat dan peluang keampunan untuk sekalian hambaNya dengan seluas-luasnya. Atas sebab itulah, satu nama lain bagi Ramadan ialah ‘syahr al-tawbah’ (bulan taubat). Ramadan bulan taubat sebab ia memang sebagai momentum yang tepat untuk bertaubat. Allah SWT berfirman:

“Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu (Allah).” (QS Ali Imran: 133).

Berdasarkan ayat di atas, maka jelas sekali Allah SWT mahu memberitahu kepada kita bahawa sebaik-baik taubat adalah taubat yang segera dilakukan tanpa menangguh-nangguhkannya. Amalan bertaubat kepada Allah SWT atas segala dosa yang dilakukan itu adalah amat baik dan paling utama lebih-lebih lagi ketika kita masih berada dalam bulan mulia ini. Oleh sebab itu, setiap Muslim yang berdosa diperintahkan segera bertaubat. Rasulullah SAW bersabda:

“Allah SWT amat gembira dengan taubat hamba-Nya yang beriman.” (HR Bukhari dan Muslim).

Dengan bertaubat, seseorang itu akan bersih daripada segala kotoran dosa, malah kehidupannya akan menjadi tenteram dan sejahtera. Malah, segala kegelapan dan kekusutan hidup akan bertukar menjadi ceria dan lebih sempurna disebabkan bersihnya rohani serta jasmani dalam penghidupan baharu. Selain itu, orang yang bertaubat akan mendapat balasan syurga dan tidak mudah disesatkan. Namun, balasan ini dikhususkan kepada mereka yang bertaubat dengan ikhlas kerana Allah SWT, menyesali atas segala kemaksiatan dilakukan dan bertekad untuk menjauhkan diri daripada segala perbuatan maksiat.

Justeru, taubat hendaklah segera dilakukan. Hal ini kerana jika ia masih ditunda dan ditangguhkan, dikhuatiri tidak sempat untuk bertaubat dan sudah tentu kita akan menanggung kerugian yang amat besar di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Gunakanlah baki Ramadan yang sedia ada ini untuk meminta pengampunan yang sesungguhnya daripada Allah SWT kerana Allah SWT itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Sumber: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam(ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)