Hadis adalah sumber hukum yang kedua selepas al-Quran. Hadis adalah perkataan, perbuatan, ikrar dan akhlak Rasulullah SAW yang bersifat maksum (yakni suci dari sebarang kesalahan) dosa kecil dan besar. Manusia lain walau setinggi mana ilmu dan ibadahnya tetap tidak boleh dijadikan hadis sama ada perkataan, perbuatan atau ikrarnya sebab mereka tidak maksum dan bukan Nabi SAW. Demikian pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) tentang hadis.
Namun, lain pula bagi Syiah. Hadis pada mereka bukan saahaja daripada Nabi SAW, malah para imam mereka yang 12 menurut mereka mempunyai hadis kerana menganggap imam 12 juga adalah maksum. Boleh dikatakan bahawa golongan Syiah menganggap sesudah Nabi SAW ada 12 orang yang bertaraf Nabi dan ini adalah bertentangan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 40, maksudnya:
“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang lelaki di antara kamu tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”
Nabi Muhammad SAW juga bersabda, yang bermaksud:
“Akan ada lingkungan umatku 30 orang pembohong yang mendakwakan bahawa ia Nabi. Aku adalah Nabi penutup, tidak ada lagi Nabi sesudahku” – Hadis Riwayat Tarmizi.
Berbeza dengan ASWJ yang menerima hadis-hadis yang diriwayatkan oleh sesiapa juga dikalangan Ahli Bait dan para sahabat. Ini adalah patut dan logik kerana Nabi SAW bukan diturunkan untuk keluarganya sahaja, tetapi untuk seluruh manusia. Nabi Muhammad SAW juga bukan hidup di kalangan keluarganya sahaja, tetapi jua dikelilingi para sahabat Baginda. Ini bermakna, para sahabat juga memperoleh hadis dari Nabi SAW yang tidak diperoleh oleh Ahlul Bait. Atas dasar inilah kita yang berpegang kepada ASWJ menerima hadis daripada para sahabat. Renung-renungkan.
Sumber: Buku Bahaya Syiah – Shoutul Arqam