Allah SWT mencipta manusia dalam keadaan sempurna termasuk memiliki keluarga. Setiap daripada kita lahir dalam sebuah keluarga. Tiada seorang pun dalam kalangan kita yang dilahirkan ke dunia sebatang kara tanpa ada keluarga. Hubungan kekeluargaan sesama ahlinya pula ada yang dekat dan ada yang jauh. Bagaimanapun semuanya termasuk dalam satu keluarga.
Namun begitu, apa yang menyedihkan adalah ada orang yang sanggup menafikan hubungan kekeluargaan. Terdapat individu yang sanggup mengaku tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarga yang mungkin tidak sehaluan dengan dirinya atau berlaku perselisihan faham dalam kehidupan. Percanggahan pandangan, perbezaan prinsip dan sebagainya adalah lumrah dalam kehidupan, namun usah kita memutuskan hubungan kekeluargaan. Sebaliknya Islam amat menggesa umatnya agar menjaga kebajikan sesama ahli keluarga. Sekiranya kita ditimpa kesusahan, maka ahli keluarga adalah pihak yang kita akan minta pertolongan dan bantuan. Oleh itu, Islam amat menitikberatkan soal keutuhan hubungan kekeluargaan. Sabda Rasulullah SAW:
“Setiap kalian adalah pemimpin. Setiap kalian juga akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepimpinannya. Seorang imam adalah orang yang bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang lelaki bertanggungjawab terhadap keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang wanita bertanggungjawab terhadap urusan di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya.” (Muttafaq ‘alaih).
Kebajikan ahli keluarga adalah antara perkara yang perlu diambil perhatian yang serius. Ada dalam kalangan kita yang sanggup membiarkan ahli keluarga sendiri hidup dalam kesusahan. Ada pula yang lebih mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri. Bantulah ahli keluarga terlebih dahulu kerana mereka termasuk dalam tanggungjawab kita. Kebajikan mereka adalah antara keutamaan yang perlu diberi perhatian. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
“Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapatkan dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim.” (HR Ahmad).
Setiap Muslim perlu memastikan setiap ahli keluarga terselamat daripada seksaan api neraka. Hal ini meliputi pelbagai aspek dalam kehidupan seorang Muslim termasuk akidah, ibadah dan akhlak. Kita perlu memastikan akidah ahli keluarga sentiasa berada pada paksi yang betul. Jauhi perbuatan khurafat dalam kalangan ahli keluarga kerana ia membawa kerosakan yang amat bahaya. Sekiranya akidah ahli keluarga tidak dipelihara, maka akan timbul pelbagai kerosakan dalam institusi kekeluargaan tersebut. Kita perlu mencontohi akhlak Rasulullah SAW termasuk akhlak baginda dalam hal rumah tangga. Baginda adalah contoh terbaik dalam hal ini meliputi peranan baginda sebagai seorang suami, ayah dan ketua keluarga secara amnya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (HR At – Tirmidzi).
Betapa pentingnya bagi umat Islam untuk mengetahui tentang keperluan mengutamakan kebajikan keluarga sepertimana yang ditunjuk oleh baginda Rasulullah SAW sendiri. Setiap ketua keluarga perlu memastikan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu mereka perlu digalas dengan sebaiknya agar beroleh kehidupan yang bahagia dan sentiasa diredhai oleh Allah SWT.
Sumber: Harian Metro 7 Jun 2023