Ijmak ulamak bersepakat menyatakan bahawa al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. adalah kitab suci terakhir yang menjadi pelengkap, menyempurnakan kitab-kitab sebelumnya dan terpelihara dengan jaminan Allah S.W.T sehingga ke akhir zaman. Sesiapa yang beriktikad bahawa ia telah ditambah, dikurangkan, diubah atau diselewengkan, maka ia menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.
Namun golongan Syiah Rafidhah berpendapat disebaliknya. Mereka mengatakan bahawa al-Quran yang kita guna sekarang ini adalah al-Quran yang telah diseleweng, diubah dan dikurangkan isi kandunganya oleh sahabat-sahabat Nabi r.a. kecuali Saidina Ali. Menurut kepercayaan Syiah, sahabat Nabi S.A.W yang mengumpulkan al-Quran yang benar hanyalah Saidina Ali sahaja.
Seorang ulamak besar Syiah iaitu al-Husin bin Muhammad Taqiy mengarang kitab khusus bagi membuktikan berlaku perubahan pada al-Quran. Beliau menyatakan Baginda telah menzahirkan sekali sahaja untuk menjadi hujah ke atas para sahabat sebelum menyembunyikannya. Kemudian Baginda menyerahkannya kepada Saidina Ali sebelum Baginda wafat. Sebelum Saidina Ali meninggal dunia, beliau telah menyerahkan kepada anaknya Saidina Hassan. Kemudian Saidina Hassan menyerahkan kepada Saidina Hussin dan seterusnya kepada Imam-imam berikutnya sehinggalah sampai kepada Imam dua belas yang dikatakan ghaib dan membawa bersamanya al-Quran. Al-Quran ini akan dizahirkan ketika kemunculannya (Imam-imam tersebut yang muncul sebagai Imam Mahdi) yang ditunggu-tunggu.
Memandangkan pendirian Syiah sedemikian, maka bagaimana pula mereka berurusan dengan al-Quran yang ada pada hari ini? Kenyataan ini mendedahkan bahawa hubungan Syiah dengan al-Quran yang ada pada hari ini hanyalah bersifat sementara sahaja dan dilakukan atas dasar taqiyyah (berpura-pura).
Sumber: Buku ‘Mengenal Hakikat Syiah’, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur