Home Kemanusiaan/Motivasi HINDARI SIFAT HASAD DENGKI KERANA IA AKAN MEMECAH BELAHKAN PERPADUAN DI KALANGAN...

HINDARI SIFAT HASAD DENGKI KERANA IA AKAN MEMECAH BELAHKAN PERPADUAN DI KALANGAN MASYARAKAT

1254
0

Antara banyak sikap mazmumah yang terjadi kepada diri manusia salah satu yang paling terkenal adalah sifat hasad dengki. Sifat tersebut bukanlah suatu hal yang baru, malah ia terjadi sejak Allah SWT menciptakan Nabi Adam A.S dan memerintahkan agar para malaikat dan iblis untuk menyembahnya. Namun, iblis mengingkar suruhan tersebut dan merasa iri hati terhadap Nabi Adam kerana merasakan dirinya lebih istimewa. Di situ permulaannya sifat hasad dengki.
Firman Allah SWT:

“Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.” (QS Al-Falaq: 5)

Bahkan, Imam al-Ghazali telah menyenaraikan tiga ciri-ciri orang yang mempunyai sifat hasad dengki seperti berikut:

1) Menginginkan agar kenikmatan atau kelebihan lenyap daripada orang lain dan mengharapkan agar kenikmatan itu berpindah kepadanya.
2) Menginginkan agar kelebihan yang dimiliki orang lain itu lenyap meskipun dia sendiri tidak dapat memilikinya disebabkan kekurangan pada dirinya sendiri. Yang penting baginya ialah orang itu jatuh dan hilang kelebihannya.
3) Merasa sakit hati apabila orang lain melebihinya walaupun dia tidak berbuat sesuatu untuk menjatuhkannya.

Persoalannya, apakah kita beroleh keuntungan hasil daripada hasad dengki? Tentu sekali tidak. Malah, ia membuatkan seseorang itu bertambah rugi. Tahukah kita bahawa sifat hasad dengki yang tidak berkesudahan ini akan menyebabkan runtuhnya sebuah perpaduan di kalangan masyarakat? Ini kerana sifat mahmudah untuk meraikan suatu kejayaan atau keberuntungan bersama itu telah ditukar dengan sifat tercela yang akhirnya mendatangkan kesan kepada diri sendiri dan orang lain. Ramai di antara kita tidak sedar bahawa sifat hasad dengki itu akan membuatkan seseorang itu:

1) Menghadapi kesulitan hidup dan bergelumang dengan dosa.
2) Hati menjadi buta.
3) Selalu gagal dalam hidup.
4) Terhalang dari mendapat syafaat Rasulullah SAW di akhirat.
5) Masuk Neraka.

Jadi, apakah kita mahu tergolong dalam golongan seperti ini? Tepuk dada, tanyalah iman. Tidak salah untuk kita meraikan kejayaan seseorang bersama. Siapa tahu itu boleh menjadi penyuntik semangat untuk kita berusaha lebih dan beroleh kejayaan seperti mereka. Seseorang yang melayan hasad dengkinya adalah penjahat dan perosak serta pemecah-belah persaudaraan antara manusia. Bukan itu sahaja, dia juga seorang yang paling biadab dengan Allah SWT. Sama ada dia sedar atau tidak, dia benci kepada Allah, serta tidak syukur dan redha dengan pemberian Allah.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar.” (HR Abu Daud: 4257)

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)