Home Liberalisme AWASI FAHAMAN LIBERAL YANG CUBA MENCAIRKAN IDENTITI ISLAM DAN MENGANGGAP AGAMA SEBAGAI...

AWASI FAHAMAN LIBERAL YANG CUBA MENCAIRKAN IDENTITI ISLAM DAN MENGANGGAP AGAMA SEBAGAI GANGGUAN UNTUK KEBEBASAN MANUSIA

199
0

Agama hanyalah budaya yang boleh diketepikan sekiranya ia tidak menepati apa yang dikehendaki. Itulah tafsiran yang dipegang oleh golongan liberal yang menganggap agama sebagai gangguan utama untuk kebebasan manusia. Liberalisme merujuk kepada individu sebagai pencipta dan penentu tindakan. Dengan konsep seperti ini, maka kejayaan dan kegagalan seseorang ditentukan oleh dirinya sendiri, tindakan dan pilihan terhadap tindakan tersebut.

Fahaman liberal ini dilihat cuba mencairkan identiti Islam dengan mencampur adukkan dengan pemikiran mengikut kerangka Barat sebagai asas pemikiran. Mereka malah berusaha mentafsir semula Islam sesuai dengan kerangka pemikiran rasional dan logik tanpa mengambil kira keterangan wahyu dan tuntutan hadis Rasulullah SAW. Tafsiran semula Islam dibuat mengikut kerangka Barat yang mengagungkan hak asasi manusia sebagai paksi utama segala tindakan dan keputusan.

Kemunculan pelbagai ideologi Barat memberi impak kepada para ilmuwan Melayu-Islam yang menyambung pelajaran di Barat dan Eropah. Disinilah akar umbi kemunculan fahaman Islam liberal di Malaysia. Mereka pulang ke Malaysia dengan membawa bersama cara fikir dan budaya yang diceduk dari Barat termasuk sistem pendidikan yang merujuk kepada teori-teori yang dikembangkan oleh Yahudi di Barat. Oleh sebab itu, kebanyakan teori yang dipakai kini semuanya merujuk kepada teori Barat sedangkan mereka sebenarnya mencedok daripada para ilmuwan Islam ketika mana mereka berada di zaman kegelapan lalu menjenamakan semula teori tersebut konon datang dari idea mereka sendiri.

Sedarlah wahai umat Islam, janganlah mudah terpengaruh oleh fahaman liberal ini yang sudah tentunya cuba sedikit demi sedikit memanipulasikan ajaran Islam tanpa sedar, sedangkan mereka cenderung membuat serangan pemikiran terhadap akidah umat Islam untuk dipesongkan daripada landasan kebenaran.

Sumber: Jurnal Akademika, Vol. 91(1): 129-138