Home Kemanusiaan/Motivasi STRESS, KECEWA, TAKUT DAN SEDIH? AMALKAN SURAH – SURAH AL – QURAN...

STRESS, KECEWA, TAKUT DAN SEDIH? AMALKAN SURAH – SURAH AL – QURAN SEBAGAI PENENANG JIWA

761
0

Al-Quran adalah petunjuk kepada orang bertakwa. Kitab yang sangat mulia, mengandungi kebenaran dan kesempurnaan, rahmat dan keberkatan. Firman Allah SWT:

“Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang (hendak) bertakwa.” (QS al-Baqarah: 2).

Dalam surah al – Waqiah, ayat 77 – 79 Allah SWT turut berfirman:

“Sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu al-Quran yang sangat mulia. Yang tersimpan dalam kitab yang terpelihara. Tidak menyentuhnya melainkan makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

Sebagai manusia yang normal pastinya kita tak dapat lari dari merasakan pelbagai emosi yang dicipta oleh Allah SWT seperti stress, kecewa takut dan sedih. Mungkin kita berasa sedih dan stress akibat kehilangan, mungkin juga akibat kecewa dan takut akibat dikhianati oleh orang yang kita percayai. Tidak kurang juga yang berasa sedih mengenangkan perkara buruk yang berlaku dalam hidup. Walau apa pun punca kesedihan yang kita alami, ketahuilah bahawa ianya akan berlalu.

Oleh kerana itu, Rasulullah SAW telah mengkhabarkan mengenai keutamaan membaca atau menghafal al-Quran. Selain daripada ganjaran utama, antara kelebihan membaca al – Quran ini adalah untuk ketenangan jiwa. Orang yang rajin membaca al Quran dan mengamalkan isinya dijanjikan oleh Allah SWT akan menjadi penawar dan rahmat. Antara surah – surah yang boleh diamalkan untuk menjadi penenang jiwa adalah:

1) Surah al – Kausar, ayat 1 -3. Di dalam surah ini telah diterangkan kepada kita bahawa kesedihan yang kita alami hanyalah sedikit berbanding nikmat lain yang diberikan oleh Allah SWT. Tidak terkira nikmat lain yang kita perolehi. Ayat ini juga mengingatkan kita supaya terus beribadat kepada Allah SWT walaupun sedang bersedih kerana Allah sentiasa ada bersama kita.

2) Surah at – Taubah, ayat 40. Allah SWT mengingatkan kita supaya jangan terlalu bersedih dan hanyut dengan perasaan sehingga terlupa bahawa sesungguhnya Allah SWT sentiasa ada bersama kita. Mungkin ada masanya kita terlalu bersedih sehingga terlupa untuk berdoa dan memohon kemudahan daripada Allah SWT.

3) Surah Al-Fajr, ayat 17. Ada kalanya bila kita bersedih, kita berasa kecewa dengan dunia atau merasakan bahawa kita adalah seorang yang gagal. Ini kerana kita terlupa bahawa dunia ini hanyalah sementara manakala akhirat adalah alam yang kekal. Oleh itu, walaupun kita dikhianati jangan terlalu bersedih kerana dunia hanyalah sementara.

4) Surah Al-Ra’d, ayat 28. Ayat ini mengingatkan kita tentang akan selalu mengingati Allah SWT hati kita akan berasa tenang.

5) Surah Al-Fussilat, ayat 44. Ini adalah ayat tentang betapa al-Quran adalah penawar bagi kesedihan dan duka-lara yang sedang kita rasai. Itulah sebabnya apabila kita berasa sedih, banyakkan membaca al-Quran. Alunan ayat suci al-Quran akan membuatkan jiwa kita berasa tenang dan In Shaa Allah kita lebih redha untuk menghadapi segala ujian yang mendatang.

6) Surah Al-Baqarah, ayat 156-157. Allah SWT mengingatkan kita untuk terus bersabar ketika sedang diuji dengan kesedihan kerana disebalik kesedihan yang mendatang terdapat seribu rahmat yang mungkin kita belum sedari pada hari ini.

7) Surah Al-Baqarah, ayat 153. Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah sentiasa ada bersama kita yang sedang diuji dengan kesedihan dan seandainya kita terus bersabar dan redha dengan segala yang berlaku, kita akan dirahmati dengan pahala yang berlipat-kali ganda.

Ingatlah, jika kita bersedih atau merasa semua perasaan negatif, terapkanlah di dalam diri dengan membaca surah – surah di dalam al – Quran ini agar kita tidak terus berlarutan di dalam kesedihan. Allah SWT tidak pernah sesekali meninggalkan hambaNya dengan kesedihan yang berlarutan melainkan disediakan ‘penawar’ yang mujarab, iaitu al – Quran.

Sumber: Harian Metro (22 Jun 2016)