Pada tahun 2004, Harley Talman dalam satu jurnal Kristiannya telah menulis bahawa pendakyahan kepada orang Islam suatu masa dahulu dianggap usaha yang sia-sia, kini dengan strategi kontekstualisasi ianya telah memberi ruang baru untuk usaha-usaha pendakyahan. Konstekstualisasi ini bermaksud suatu strategi pendakyahan Kristian dengan cara mengambil guna istilah dan cara beribadat yang biasa digunakan oleh masyarakat Islam.
Tuntutan untuk menggunakan kalimah Allah oleh gerakan evangelis Kristianisasi adalah contoh terbaik bagi menjelaskan strategi Kristian dalam memperdayakan umat Islam. Ianya adalah salah satu strategi kontekstualisasi. Dengan menggunakan perkataan-perkataan yang biasa diguna pakai oleh orang Islam setempat dalam bahan bacaan Kristian, maka usaha pendakyahan dengan menyebarkan Bible atau apa-apa bahan bacaan kepada orang Islam lebih berhasil dan lebih mudah.
Orang Islam tidak akan merasakan apa yang mereka baca itu asing malah tidak jauh bezanya dengan apa yang mereka amalkan. Oleh itu, mereka tidak akan terus menolak bahan-bahan bacaan tersebut. Sebagai contoh, di Indonesia terdapat pelbagai rumah agama Kristian yang meletakkan kalimah Allah pada bangunan mereka. Adakah kita mahu keadaan seperti ini berlaku di negara kita? Pasti ianya kelak akan mewujudkan kekeliruan kepada kita semua.
Justeru itu, berhati-hatilah dengan strategi halus gerakan evangelis Kristianisasi ini yang cuba menggunakan konstekstualisasi seperti kalimah Allah dan sebagainya bagi mengelirukan dan memanipulasikan pemikiran umat Islam terutama yang lemah akidahnya sudah tentu lebih mudah terjerumus dengan agenda jahat mereka itu.
Sumber: Jurnal Nasionalisme