Masih lagi kita dengan tema pengorbanan walaupun Aidiladha telah pun melabuhkan tirainya. Pengorbanan paling asas dimulakan dari sebuah keluarga dan diri sendiri. Bagi seorang Muslim, pengorbanan paling utama yang dilakukan adalah untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT dan meninggalkan kemaksiatan. Perkara tersebut dilaksanakan dengan bermujahadah meninggalkan keinginan syahwat dan hawa nafsu yang sering terpesona dengan keindahan dunia dan gaya hidup yang melalaikan sebaliknya berusaha mematuhi ketetapan syariat.
Perubahan adalah satu sunnatullah atau peraturan Ilahi yang pasti berlaku di alam semesta ini. Tidak ada sesuatu pun yang wujud di atas muka bumi ini melainkan pasti akan menghadapi perubahan sama ada secara fizikal mahupun secara spiritual. Allah SWT memberikan contoh yang jelas berkaitan perubahan yang berlaku dalam diri manusia. Menerusi firman-Nya yang bermaksud:
“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan dialah jua yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.” (QS al – Rum: 54).
Ketahuilah, jalan mencari redha Allah ini sukar, berliku dan penuh duri. Akan tetapi, kita harus kuat dalam mengharunginya. Lalu, jalan yang harus kita ambil dalam melakukan perubahan di dalam diri adalah:
1) Percaya pada keupayaan diri sendiri.
2) Maafkan kesilapan diri sendiri atas kesilapan lalu.
3) Maafkan orang yang telah berdosa ke atas diri kita.
4) Berubah secara senyap atau tertutup.
5) Belajar untuk memberi terutamanya bersedekah dan tidak meminta – minta.
6) Selalu mendekatkan diri kepada Allah SWT.
7) Selalu berbuat baik.
8) Hindari rasa marah yang melampau.
Justeru, perubahan amat penting dilakukan bermula dari sekarang dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada dari segi pemikiran, pemahaman, penghayatan dan pengamalan secara menyeluruh terhadap ajaran Islam selaras denga napa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Jadikanlah perjuangan untuk merubah diri kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya sebagai satu mujahadah dalam melawan maksiat.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan